Tentera Israel akui sukar hapus Hamas, berbalah pendapat dengan Netanyahu


  • Benua
  • Khamis, 20 Jun 2024

Selama lebih lapan bulan perang, tentera Israel telah menyerang kawasan Semenanjung Gaza, dengan pasukan itu dilaporkan hanya mampu melihat Hamas membentuk semula keupayaan kapasiti operasinya di kawasan terbabit selepas pengunduran tentera Israel. — Agensi

KERETAKAN hubungan antara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan kepimpinan tentera rejim (IDF) itu kini semakin menjadi pengetahuan umum selepas jurucakap tertinggi angkatan tentera berkata matlamat Netanyahu memusnahkan Hamas di Gaza tidak dapat dicapai.

Dalam komennya menerusi stesen televisyen Israel pada Rabu, jurucakap tentera Daniel Hagari berkata, "idea bahawa kita boleh memusnahkan Hamas atau menghapuskan Hamas memberi kefahaman yang salah kepada orang ramai."

Kenyataan itu dilihat sebagai teguran langsung yang jarang berlaku daripada pihak tentera terhadap matlamat digariskan Netanyahu dalam perang di Gaza.

BACA LAGI: Inilah masanya, Umno berpeluang rampas semula DUN Nenggiri

BACA LAGI: Mohd Azizi boleh mohon tangguh PRK DUN Nenggiri, tunggu keputusan mahkamah

Tentera berkata, pasukan itu telah meraih kemenangan mutlak ke atas Hamas dan menyelamatkan tebusan Israel yang diculik kumpulan pejuang Palestin itu.

Bagaimanapun, Netanyahu berulang kali berkata, beliau tidak akan menamatkan perang selagi kumpulan Hamas tidak dihapuskan dan menyingkirkan kumpulan itu daripada menjadi kuasa tentera dan kerajaan di wilayah berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menyanggah komen dikeluarkan Daniel.

“Kabinet keselamatan diketuai Perdana Menteri, Netanyahu mentakrifkan kemusnahan keupayaan ketenteraan dan kerajaan Hamas sebagai salah satu matlamat perang. IDF sudah tentu komited terhadap perkara ini,” katanya merujuk kepada Angkatan Pertahanan Israel.

photo1718884078

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. — Agensi

Situasi berbalas kenyataan itu merupakan manifestasi keteganganselama berbulan-bulan antara Netanyahu dan kepimpinan tentera rejim terbabit yang berpendapat Hamas hanya boleh dikalahkan jika Israel menggantikannya dengan pihak berkuasa lain di Gaza.

Selain itu, ketegangan antara Netanyahu dan tentera juga dilaporkan mula memuncak selepas tentera melancarkan operasi pada Mei di Rafah, bandar yang menempatkan lebih sejuta orang awam Palestin berlindung menjadi pelarian.

Netanyahu selama berbulan-bulan menyatakan bahawa pencerobohan Rafah adalah langkah utama kepada visinya untuk mencapai kemenangan mutlak dalam peperangan itu.

Bagaimanapun, pasukan tentera rejim itu memberi isyarat bahawa operasi Rafah akan berakhir tidak lama lagi, dengan mengatakan minggu ini bahawa ia telah menyerang dua daripada empat batalion Hamas di wilayah itu dan merampas sebahagian besar kawasan Rafah.

Selama lebih lapan bulan perang, tentera Israel telah menyerang kawasan Semenanjung Gaza, dengan pasukan itu dilaporkan hanya mampu melihat Hamas membentuk semula keupayaan kapasiti operasinya di kawasan terbabit selepas pengunduran tentera Israel.

Netanyahu sebelum ini menolak beberapa siri cadangan untuk kemungkinan alternatif kepada Hamas, termasuk rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk membawa masuk Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan gesaan negara Arab bagi pembentukan kerajaan perpaduan Palestin yang merangkumi Hamas.

Beberapa penganalisis tentera dan bekas pegawai Israel mempersoalkan sama ada penggantian kerajaan baharu di Gaza adalah satu kemungkinan yang boleh berlaku, memandangkan Hamas berjaya bertahan daripada serangan tentera Israel.

Perpecahan yang semakin meluas dengan kepimpinan tentera berlaku apabila Netanyahu juga berada di bawah tekanan daripada pentadbiran Presiden AS, Joe Biden untuk menerima cadangan gencatan senjata dikatakan akan membawa kepada penamatan perang.

Pada minggu ini, Netanyahu membuka pertikaian baharu dengan pentadbiran Rumah Putih dengan menuduh AS menyekat bekalan senjata dan peluru ke Israel.

photo1718884064

Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari. — Agensi

AS bagaimanapun menolak dakwaan itu dan berkata, ia hanya memberhentikan satu penghantaran bekalan bom kerana kebimbangan mengenai kemungkinan pembunuhan orang awam dalam operasi Israel di bandar Rafah yang terletak di selatan Gaza.

Lebih 37,000 rakyat Palestin terbunuh di Gaza sejak permulaan perang dengan kebanyakannya terdiri orang awam, kata pihak berkuasa Palestin.

Angka itu tidak menyatakan bilangan korban melibatkan anggota pejuang daripada Hamas.

Pengeboman Israel juga telah menyebabkan kehancuran infrastruktur sebahagian besar Semenanjung dan menyebabkan lebih sejuta rakyat Palestin kehilangan kediaman mereka.

Serangan yang diketuai Hamas ke atas Israel selatan pada 7 Oktober menyebabkan kira-kira 1,200 orang terkorban dengan kebanyakan mereka turut terdiri orang awam, ujar pihak berkuasa Israel.

Hamas turut mengambil kira-kira 250 tebusan, dengan puluhan daripadanya masih dalam tawanan di Gaza. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram