KESETIAAN bersama sesebuah pasukan menjadi sesuatu hal yang semakin jarang didengari dalam dunia bola sepak hari ini apabila pemain lebih cenderung untuk berkelana bagi meraih kejayaan.
Tawaran gaji yang lumayan juga mampu membuatkan seseorang itu sukar untuk setia sepanjang karier meskipun rata-rata daripada penyokong amat mengharapkan masing-masing akan kekal.
Situasi tersebut turut dapat disaksikan dalam landskap bola sepak tanah air apabila pemain cenderung mencari majikan baharu setiap kali jendela perpindahan dibuka.
Meskipun penghijrahan itu sukar direstui penyokong, keputusan sebegitu masih perlu diambil kerana tempoh singkat dalam karier masing-masing memaksa langkah terbaik dipilih tanpa perlu memikirkan respons daripada kesemua pihak.
Tetapi, masih terdapat dalam kalangan mereka yang memilih untuk mencurah kesetiaan bersama pasukan kesayangan, lebih-lebih lagi sekiranya kelab itu berpangkalan di negeri kelahiran tersendiri.
BACA LAGI: Gergasi Merah setia dengan DNA Colombia, rakan senegara Ayron dikhabar ke Selangor
Peluang meraih kejayaan pastinya sukar ditolak mana-mana pemain Liga Super. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Keputusan terbabit pastinya menimbulkan pelbagai tanda tanya memandangkan ada daripada pemain-pemain itu pernah ditawarkan gaji lumayan oleh pasukan dengan struktur kewangan yang kukuh.
Selain itu, ada dalam kalangan mereka yang pernah diberikan peluang menyertai kelab lebih sukses dengan kemungkinan menjulang trofi saban musim cukup tinggi.
Namun, pilihan untuk kekal berkhidmat di negeri sendiri itu membawa hasil dan pulangan berbeza kerana sumbangan masing-masing akan lebih diingati penyokong.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga pemain yang pernah mengangkat nilai kesetiaan di negeri tersendiri meskipun keputusan itu akan menutup peluang mereka menambah koleksi kejuaraan.
1. Badhri Radzi
Salah satu langkah awal yang diambil Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika mahu bertapak dalam arena bola sepak tanah air lebih 10 tahun lalu adalah dengan menyambar beberapa pemain tempatan berkualiti.
Meskipun ada yang berasakan tindakan tersebut hanya akan melemahkan lawan, bayaran pampasan yang dibuat memberi kelebihan buat pasukan Liga Super untuk terus sukses dari segi kewangan.
Antara kelab yang menjadi fokus utama skuad Harimau Selatan ketika itu adalah bekas pemenang 'treble', Kelantan FA yang memiliki lambakan pemain bersinar di posisi masing-masing.
BACA LAGI: [VIDEO] Piya 'sekolahkan' pemain muda, 'Kalau nak suka-suka main petang sajalah'
Badhri (putih) memilih untuk kekal bersama skuad TRW meskipun menerima pelbagai tawaran. — Agensi
Daudsu Jamaludin, Nurul Azwan Roya dan Norshahrul Idlan Talaha merupakan antara nama yang disambar JDT dengan kebolehan masing-masing cukup diminati pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris.
Tetapi, salah seorang pemain yang gagal 'dipancing' pasukan Selatan tanah air tersebut ialah pemain tengah merangkap kapten skuad The Red Warriors (TRW), Badhri Radzi.
Nilai kepimpinannya serta kebolehan dalam membuat hantaran menakjubkan pastinya didamba JDT ketika itu meskipun mereka berjaya mendapatkan khidmat tonggak Selangor FA, Safiq Rahim.
Keputusan Badhri, atau lebih dikenali sebagai Piya pada waktu itu didorong oleh kecenderungannya untuk terus berkhidmat di Pantai Timur meskipun berpeluang mencipta nama bersama skuad Harimau Selatan.
2. Nor Azam Azih
Meskipun masih terlalu awal untuk memberikan status legenda kepada Nor Azam Azih, penyokong skuad Tok Gajah pasti sudah mengangkat pemain tengah itu sebagai antara yang terbaik pernah menyarung jersi pasukan itu.
Selepas menghabiskan tempoh semusim bersama Harimau Muda B dalam saingan Liga Singapura, dia memilih untuk pulang ke negeri kelahirannya kira-kira sembilan tahun lalu.
Sejak itu, Nor Azam terus mengukuhkan legasinya buat Sri Pahang FC sehingga menyaksikannya berjaya mencatatkan lebih 200 penampilan buat kelab Pantai Timur itu dalam kesemua pertandingan.
Azam boleh menerima status legenda Tok Gajah jika kekal untuk beberapa tahun lagi. — Facebook/Sri Pahang FC
Bagaimanapun, kesetiannya bersama pasukan itu boleh dikatakan lebih bernilai kerana pemain berusia 29 tahun terbabit pernah dikaitkan dengan beberapa kelab Liga Super, termasuk JDT dan Selangor FC.
Walaupun tahu bahawa perpindahan itu akan menghadiahkannya pelbagai bentuk kejayaan, hubungannya yang baik dengan penyokong skuad Tok Gajah boleh dianggap sebagai pulangan kepada pilihannya untuk terus kekal.
Kini, Azam sudah memasuki tahun ke-10 bersama Sri Pahang FC dengan spekulasi terus mengatakannya bakal berhijrah pada jendela perpindahan kali ini.
3. Baddrol Bakhtiar
Salah seorang produk terbaik daripada sistem pembangunan bola sepak di Kedah pastinya bekas pemain tengah dan kapten skuad Sang Kenari, Baddrol Bakhtiar.
Dia yang bernasib baik kerana berpeluang berada dalam skuad 'double treble' dari 2007 sehingga 2008 pernah merasai kejayaan indah bersama kelab Utara tanah air tersebut.
Tetapi, pemain tengah itu juga pernah mengharungi satu tempoh cukup menduga bersama Kedah FA yang tersingkir ke kancah Liga Perdana pada 2012 dan kekal dalam divisyen kedua bola sepak tanah air untuk tiga musim.
Baddrol mempunyai pengaruh cukup hebat sepanjang beberapa musim bersama KDA FC. — Agensi
Namun, cabaran itu tidak mencalarkan kesetiaannya bersama pasukan apabila terus mengerah keringat sehingga diberikan peranan kapten atas sikap kepimpinannya di dalam dan luar padang.
Meskipun tidak pernah diceritakan mengenai pasukan yang dikaitkan dengannya, kebolehan Baddrol dalam mencari rakan sepasukan pasti amat didambakan pasukan-pasukan Liga Super.
Pemain yang kini bergelar ahli politik itu bagaimanapun memilih untuk berpisah dengan skuad Sang Kenari pada 2021 dengan keputusannya untuk menyertai Sabah FC memberikan kejutan cukup besar buat penyokong Hijau Kuning.
Tetapi, perpindahan itu tidak mencalarkan status Baddrol bersama pasukan tersebut setelah menabur khidmat lebih daripada 10 tahun dengan ratusan penampilan direkodkannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram