Pelajar Malaysia di Bangladesh dakwa tiada akses ke tempat perlindungan, terpaksa cari homestay selamat


  • Massa
  • Ahad, 21 Jul 2024

Situasi tegang yang semakin membimbangkan pelajar Malaysia di Bangladesh. — Agensi

KEADAAN tegang berikutan protes besar-besaran yang dilakukan di Bangladesh semakin membimbangkan apabila difahamkan ramai lagi pelajar warga Malaysia masih terperangkap.

Menerusi hantaran dimuat naik di X @akmalazizan8 pada Ahad, seramai kira-kira 20 pelajar perempuan dari sebuah universiti di Dhaka tiada akses untuk ke tempat perlindungan.

Menurutnya, ada juga beberapa pelajar lain yang masih di kediaman atau hostel masing-masing di mana ia terletak di kawasan bahaya.

BACA LAGI: RTM buat laporan polis isu terjemahan automatik FB, kapsyen bahasa Inggeris silap ucap takziah Agong

BACA LAGI: Remaja perempuan hilang di Kota Tinggi ditemukan selamat, rupanya merajuk mahu tukar kursus

GTAAUeTbIAA4sgJ

Hantaran yang dikongsikan pengguna Twitter tersebut.

Pengguna itu juga mendakwa bahawa mereka diarah untuk menggunakan wang dan menanggung kos sendiri untuk pulang ke Malaysia.

"Dah minta tempat untuk berlindung di kawasan kedutaan Malaysia, tapi katanya tak ada akses untuk buat semua tu.

"Cuma suruh balik Malaysia guna duit sendiri saja. Jalan ke lapangan terbang tutup, ada pelajar Malaysia 'sangkut' dan dipaksa untuk patah balik," tulisnya.

Para pelajar tersebut didakwa terpaksa mencari jalan penyelesaian serta mencari inap desa jauh dari kawasan protes sendiri selepas berbincang dengan pihak kedutaan Malaysia.

Bagaimanapun, mereka dikatakan kemudiannya memutuskan untuk menumpang di kediaman kenalan seorang daripada pelajar terbabit di Gazipur.

Sehingga berita ini ditulis, belum ada kenyataan dikeluarkan berhubung dakwaan tersebut.

GS7pHPeaUAAASnu

Sebahagian pelajar Malaysia di Bangladesh yang dikatakan masih belum mendapat perlindungan sewajarnya. — Twitter

Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan pihaknya mengaktifkan bilik operasi, yang boleh dihubungi ahli keluarga terdekat pelajar Malaysia di Bangladesh di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel di [email protected].

Rakyat Malaysia juga dinasihatkan berhati-hati dengan individu yang menjanjikan bantuan untuk mereka di Bangladesh dan mengesahkan sebarang maklumat dengan menghubungi bilik operasi.

Pada masa sama, Wisma Putra turut menilai perkembangan terkini dengan teliti dengan kementerian dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sedang mempertimbangkan semua pilihan yang ada, termasuk pemindahan jika perlu.

“Kementerian sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan agensi berkaitan lain untuk membantu pelajar Malaysia di Bangladesh.

"Sehingga Jumaat lalu, daripada 95 pelajar Malaysia di Bangladesh, dua orang telah meninggalkan Dhaka baru-baru ini dengan bantuan Suruhanjaya Tinggi,” katanya.

Sebelum ini, ribuan pelajar Bangladesh mengadakan demonstrasi selepas mahkamah memutuskan untuk mengenakan semula kuota untuk kerja kerajaan yang dimansuhkan pada 2018.

Susulan itu, lebih 100 orang terbunuh sejak rusuhan tercetus pada 16 Julai lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram