BIMBANG akan keselamatan adiknya, kakak kepada seorang pelajar Malaysia yang masih berada di Dhaka, Bangladesh memohon jasa baik kerajaan untuk membawa pulang kesemua pelajar terjejas.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Sofea memberitahu bahawa keadaan di Bangladesh kini semakin teruk lebih-lebih lagi ada segelintir mereka yang terperangkap dalam kolej kediaman.
Sofea berkata, mereka juga sukar untuk dihubungi kerana sistem telekomunikasi yang sudah terputus.
BACA LAGI: Remaja perempuan hilang di Kota Tinggi ditemukan selamat, rupanya merajuk mahu tukar kursus
Situasi tegang yang semakin membimbangkan pelajar Malaysia di Bangladesh. — Agensi
Katanya, kebanyakan kedai runcit atau kedai yang menjual tambah nilai prabayar juga ditutup susulan arahan perintah berkurung di Bangladesh.
"Apa yang saya risaukan adalah keselamatan mereka dan berharap agar pihak kerajaan dapat memberi bantuan dan pengangkutan untuk pulang ke Malaysia.
"Sekarang mereka susah untuk dihubungi melainkan mereka yang akan hubungi kita ahli keluarga. Hanya kerajaan yang dapat bantu mereka," katanya kepada Majoriti.
Menurutnya, terdapat beberapa masalah yang menghalang untuk pelajar Malaysia pulang ke tanah air.
Sofea berkata, pelajar tersebut tidak disediakan dana oleh kedutaan sehingga menyebabkan mereka menggunakan wang sendiri.
"Dari segi makan tiada, dan semua pelajar Malaysia tidak berada di tempat yang sama kerana tidak disediakan tempat perlindungan," dakwanya lagi.
Terdahulu, seramai kira-kira 20 pelajar perempuan dari sebuah universiti di Dhaka dikatakan tiada akses untuk ke tempat perlindungan.
Menurutnya, ada juga beberapa pelajar lain yang masih di kediaman atau hostel masing-masing di mana ia terletak di kawasan bahaya.
Ia susulan demonstrasi yang dilakukan ribuan pelajar Bangladesh selepas mahkamah memutuskan untuk mengenakan semula kuota untuk kerja kerajaan yang dimansuhkan pada 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram