[VIDEO] Belum sempat bertanding Olimpik Paris, atlet gaya bebas BMX Australia ‘putih mata’ dirompak


  • Benua
  • Khamis, 25 Jul 2024

Tangkap layar insiden kecurian berlaku membabitkan atlet Australia, Logan Martin pada sukan Olimpik Paris pada Rabu.

PENYANDANG pingat emas gaya bebas BMX Olimpik Tokyo 2020, Logan Martin meluahkan kekecewaannya selepas barangan peribadinya dirompak menjelang sukan temasya Olimpik Paris pada Rabu.

Atlet berbasikal dari Australia berusia 30 tahun itu berkongsi gambar dan video kejadian menerusi laman Instagram peribadinya memaparkan kenderaan van dinaiki dipecah masuk suspek ketika di sebuah taman.

"Van kami dipecah masuk malam tadi, nasib baik basikal saya tidak ada di sana walaupun beg basikal saya ada di dalamnya. Ia adalah permulaan yang gila untuk perjalanan Olimpik kali ini," katanya.

BACA LAGI: Dianggap underdog di Olimpik 2024 Paris, trio memanah wanita negara idam kejutkan juara bertahan

BACA LAGI: Skuad boling remaja wanita negara cipta sejarah di Korea

Dalam pada itu, beberapa barangan seperti sarung tangan, topi keledar dan beg galas ditemui di bawah bangku taman tersebut.

Turut ditemukan adalah bungkusan snek dan coklat milik Logan dipercayai dibuang suspek yang memakannya dalam kes rompakan terbabit.

"Nasib baik kebanyakan barang kami berada di dalam bilik dan ia selamat dalam simpanan kami.

"Saya kehilangan dompet, beg galas dan beberapa perkara lain tetapi secara keseluruhan ia tidak seteruk yang disangka, malang sekali apabila ada individu yang sanggup melakukan perbuatan seperti ini," tambahnya.

Namun, tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden itu dan atlet berkenaan difahamkan akan meneruskan cabaran bagi mempertahankan pingat emas dimenanginya empat tahun lalu.

Acara gaya bebas BMX Paris 2024 dijadual berlangsung pada Selasa dan Rabu depan (30-31 Julai) di Place de la Concorde, Paris. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram