PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya Kerajaan Madani memungkiri janji dan menyorokkan fakta sebenar ekonomi negara yang dikatakan semakin merudum.
Ia susulan kenyataan dibuat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid yang mendakwa, beliau tidak konsisten dengan pendiriannya berhubung hutang negara.
Rosol berkata, ketika menjadi pembangkang Anwar lantang mengkritik kerajaan apabila hutang negara meningkat, namun beliau sendiri turut melakukan tindakan yang pernah dibantahnya apabila menambahkan jumlah hutang tersebut selepas menerajui kerajaan.
BACA LAGI: Tun M cabar PM Anwar adakan PRU segera
BACA LAGI: SPRM panggil Mirzan Mahathir bantu siasatan, beri 30 hari untuk isytihar harta
Mengulas lanjut berkaitan hal itu, Anwar berkata, dua aspek utama pengurusan fiskal negara sedang giat diuruskan oleh kerajaan yang menghasilkan impak positif, langkah mengurangkan hutang negara dan usaha menurunkan defisit fiskal.
"Hiruk pikuk mengenai hutang negara seolah tidak memberi kenyataan benar, memungkiri janji berkaitan menurunkan hutang negara. Saya lihat di media sosial, kita diserang tetapi fakta itu tidak benar.
"Saya telah jelaskan ada hutang yang kita warii mencecah lebih RM1 trilion malah RM1.5 trilion, memang komitmen kita untuk mengurangkan hutang dan ini kita lakukan umpamanya tahun 2021, 2022, kita berhutang dari luar dan dalam RM100 bilion.
"Tahun 2022 RM100 bilion, kita ambil alih 2023, kita beritahu keadaan tidak boleh dipertahankan dengan hutang yang berlonggok dan bertambah, maka kita turunkan maknanya kurangkan hutang ke RM93 bilion," katanya menerusi laman X pada Khamis.
Beberapa hari lalu, tersebar dakwaan tidak berasas kononnya Kerajaan tidak mendedahkan fakta sebenar ekonomi dan memungkiri janji terkait usaha menurunkan hutang negara. Realitinya, data dan angka tidak membohong.
Dua aspek utama pengurusan fiskal negara sedang giat diuruskan... pic.twitter.com/pzJmj11yn5
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) July 25, 2024
Terdahulu, Anwar pada Isnin berkata, negara terpaksa meminjam wang setiap tahun untuk membayar hutang sebelum ini termasuk berkaitan 1Malaysia Development Berhad selain untuk Prasarana.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berkata, hutang kerajaan persekutuan meningkat RM50 bilion kepada RM1.22 trilion setakat akhir April tahun ini, berbanding RM1.17 trilion pada akhir tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram