[VIDEO] Wanita hilang lepas COD di Lampung ditemukan mati di kebun jagung, dibungkus dalam guni


  • Benua
  • Isnin, 22 Jul 2024

Seorang wanita ditemui mati di sebuah kebun jagung dekat Desa Rajabasa Lama, Kecamatan Labuhan Ratu, Lampung Timur, Indonesia pada pagi Khamis. — Agensi

SEORANG peniaga dalam talian ditemui mati diletakkan di dalam guni di sebuah kebun jagung dekat Desa Rajabasa Lama, Kecamatan Labuhan Ratu, Lampung Timur, Indonesia pada pagi Khamis.

Mangsa, Riyas Nuranini, 33, dipercayai hilang ketika membuat penghantaran barangan secara cash on delivery (COD) sehari sebelum kejadian.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Lampung, Pesuruhjaya Kanan Umi Fadilah berkata, suami mangsa, Sukani, 36, memaklumkan isterinya kali terakhir dilihat pada pagi Rabu, iaitu ketika hendak pergi membuat penghantaran barangan yang dijualnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Jasad suami isteri membusuk ditemukan jiran Indonesia, anak langsung tak datang jenguk

BACA LAGI: Disyaki meninggal lebih 5 hari, mayat 2 wanita membusuk dalam kereta di Bukit Mertajam angkara terhidu gas helium

Menurutnya, mangsa yang juga digelar sebagai peniaga 'bakul online' kebiasaannya akan berada di rumah pada pukul 3 petang, namun pada hari tersebut, hingga pukul 5.30 petang dia masih belum pulang.

"Si suami yang bimbang terus cuba menghubungi telefon pintar isterinya, tetapi ternyata sudah tidak aktif. Bahkan keluarganya juga tidak ada yang tahu keberadaan mangsa," katanya tanpa mengulas jenis barangan yang diniagakan mangsa.

Pencarian diteruskan sehinggalah mangsa ditemui mati di kebun jagung pada keesokan harinya dengan badan dibungkus di dalam guni dan diletakkan atas sebuah motosikal.

Mayat wanita tersebut dijumpai penduduk yang sedang berkebun dan ternampak sebuah motosikal Honda Vario dalam keadaan tertiarap di tengah kebun.

Saksi yang tidak berani mendekati kemudian melaporkannya kepada penduduk setempat dan polis, sebelum menemui mayat seorang wanita di dalamnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram