[VIDEO] 'Semoga syurga buat mereka,' lebih 550 jemaah haji meninggal dunia di Makkah akibat panas melampau


  • Benua
  • Rabu, 19 Jun 2024

Kira-kira 323 daripada jumlah kematian merupakan rakyat Mesir dengan kebanyakannya meninggal dunia akibat penyakit berkaitan haba. — Agensi

SEKURANG-KURANGNYA 550 jemaah meninggal dunia ketika menunaikan ibadah haji pada tahun ini, akibat panas melampau.

Menurut The Guardian yang memetik laporan AFP, kira-kira 323 daripada jumlah itu merupakan rakyat Mesir dengan kebanyakannya meninggal dunia akibat penyakit berkaitan haba.

“Semua jemaah (rakyat Mesir) meninggal dunia kerana cuaca panas kecuali seorang jemaah yang mengalami kecederaan parah semasa rempuhan orang ramai,” kata diplomat Arab Saudi kepada AFP diplomat.

BACA LAGI: Jemaah haji kedua Malaysia meninggal dunia kena serangan jantung ketika tawaf

BACA LAGI: Kadar bayaran haji berbeza buat golongan B40 dan M40, T20 kena bayar penuh RM33,300

Jelas diplomat itu, sekurang-kurangnya 60 jemaah dari Jordan meninggal dunia, meningkat daripada jumlah rasmi iaitu 41 orang yang dimaklumkan kerajaan negara itu sebelum ini.

Berdasarkan pengiraan AFP, kematian baharu tersebut menjadikan jumlah yang dilaporkan setakat ini adalah seramai 577 jemaah, merangkumi pelbagai negara.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa Arab Saudi dilaporkan merawat lebih 2,000 jemaah yang mengalami tekanan haba, namun angka itu masih belum dikemas kini sejak Ahad, termasuk maklumat mengenai kematian.

Sekurang-kurangnya 240 orang, kebanyakan mereka jemaah haji Indonesia meninggal dunia semasa musim haji pada tahun lepas.

Sementara itu, seorang jemaah dari Malaysia turut berkongsi satu video di laman sosial memaparkan situasi terkini di Makkah, dengan beberapa jemaah yang dipercayai meninggal dunia terbaring di tepi jalan.

"Ya Allah, lihat ramai yang meninggal dunia tepi jalan, ada mereka yang ada tasbih, ada yang mempunyai permit dan ada (juga) yang tidak. Kematian ketika haji 1445 Hijrah. Ya Allah ampunkanlah dosa-dosa mereka," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram