Kadar bayaran haji berbeza buat golongan B40 dan M40, T20 kena bayar penuh RM33,300


  • Primer
  • Jumaat, 19 Jan 2024

Kadar bayaran haji yang ditetapkan untuk kumpulan B40, M40 dan T20 adalah berbeza pada 2024. — Gambar hiasan

SETIAP bakal haji dalam kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan ibadah itu ditetapkan kadar bayaran pada RM12,356 manakala kumpulan M40 pula sebanyak RM19,152.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman dilaporkan berkata, kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji 2024 meningkat kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada 2023.

Menurutnya kali ini, Tabung Haji memperuntukkan bantuan kewangan haji (HAFIS) sehingga 63 peratus daripada kos haji untuk golongan B40 dan 42 peratus bagi M40.

BACA LAGI : MKM terima lesen kendali jemaah haji, tawar baucar diskaun bernilai RM1 juta

Bagi golongan T20 pula, Hamadah berkata, jemaah dikehendaki membuat bayaran penuh iaitu RM33,300 sama seperti pada 2023.

"Bakal haji kumpulan B40 akan menerima bantuan kewangan haji dan bantuan kerajaan sebanyak RM1,000 dengan jumlah keseluruhan bantuan adalah RM20,944 seorang atau bersamaan dengan 63 peratus daripada kos haji.

"Bayaran haji bakal haji Muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat haji pula adalah RM19,152 seorang. Mereka menerima bantuan kewangan haji berjumlah RM14,418 seorang atau 42 peratus dari keseluruhan kos haji," katanya.

Sebelum ini, kumpulan B40 dilaporkan menerima bantuan kewangan haji sebanyak RM19,870 seorang atau 64 peratus daripada kos haji, manakala kumpulan M40 menerima bantuan sejumlah RM14,870 atau 48 peratus daripada kos haji pada 2023.

Pada masa sama, Hamadah menjelaskan bahawa, surat tawaran kepada 31,600 jemaah bagi musim haji 1445H/2024M akan dikeluarkan bermula Jumaat.

Beliau dilaporkan berkata, setiap bakal haji perlu memberi maklum balas terhadap surat tawaran terbabit dalam tempoh 11 hari bekerja melalui aplikasi THiJARI.

"Walaupun berlaku kenaikan kos haji, Tabung Haji tetap mencari kaedah terbaik mengimbangi usaha memberikan perkhidmatan cemerlang demi kebajikan jemaah negara di samping mengekalkan kelestarian kedudukan kewangannya.

"Sejak 2001, Tabung Haji telah membelanjakan sejumlah RM2.4 bilion bagi bantuan kewangan haji dan dijangka membiayai kos sebanyak RM350.1 juta bagi musim haji kali ini," katanya lagi.

Bukan itu sahaja, media turut melaporkan, bakal haji perlu membayar kos secara penuh kecuali bagi dua kategori iaitu rayuan sebagai mahram kepada jemaah dan sebagai pembantu kepada jemaah lanjut usia yang terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu.

Sementara itu, Hamadah turut dilaporkan berkata, kenaikan kos haji adalah meliputi seluruh rantaian perkhidmatan haji iaitu penginapan, penerbangan, sajian, visa, perkhidmatan semasa di tanah air dan di Tanah Suci

Ia termasuk dengan kos operasi masyair, pengangkutan, pengurusan kebajikan serta kesihatan jemaah haji dan kos operasi lain.

Kenaikan kos tersebut juga dikatakan berpunca daripadad faktor yang di luar kawalan seperti peningkatan kadar inflasi, cukai nilai tambah dan caj pekhidmatan di Tanah Suci. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram