RAKYAT Malaysia sering dimomokkan dengan istilah 'Rumahku Syurgaku', yang menggambarkan sebuah kehidupan yang bahagia di samping ahli keluarga tercinta.
Syurga dalam frasa tersebut membawa erti suasana selesa yang penuh dengan kasih sayang.
Tidak dinafikan, setiap insan mengimpikan kehidupan dengan sebuah keluarga bahagia, miliki rumah yang selesa, kerjaya yang baik dan kehidupan yang harmoni.
BACA LAGI: Derita 'parking' penduduk PPR yang tak berkesudahan
Ini juga menjadi antara faktor yang mendorong sesetengah individu memasang impian untuk membeli kediaman sendiri meskipun pada usia muda.
Memang benar, rumah dianggap sebagai aset atau liabiliti bagi tempoh jangka panjang.
Bagaimanapun harus diingat, ukur baju di badan sendiri juga sangat diperlukan dalam konteks dunia moden pada hari ini.
Ia kerana membeli rumah pastinya memerlukan sejumlah wang yang bukan sedikit.
Berdasarkan perkongsian seorang perunding takaful, Shara Ismail, banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum membeli rumah idaman, khususnya buat anak muda yang baru mahu mengenali dunia pekerjaan.
Menurutnya, ketika ini, komitmen bulanan untuk beli rumah kebiasaannya lebih tinggi berbanding menyewa.
"Contohnya, katakan rumah dua bilik di Kuala Lumpur berharga RM250,000 ke atas, bermaksud bayaran bulanan kepada bank sekitar RM1,300 sedangkan kalau menyewa hanya kira-kira RM800.
"Lebih baik menyewa dulu, sementara lebihan RM500 itu simpan untuk kecemasan," katanya.
Shara turut memberitahu, membeli rumah memerlukan seseorang itu menyediakan wang deposit sekitar 15 peratus bagi kegunaan kos guaman, Takaful Bertempoh Gadai Janji Berkurang (MRTT) dan sebagainya.
Ujarnya lagi, perasaan membuak-buak untuk memiliki rumah sendiri berkemungkinan menyebabkan ada yang terpaksa menggunakan duit simpanan kecemasan untuk merealisasikan keinginan tersebut.
Anak muda dinasihatkan untuk fokus mengukuhkan pendapatan dan simpanan terlebih dahulu.
"Sedangkan kalau perlukan duit bukannya boleh jual rumah bila-bila masa.
"Kalau menyewa, hanya perlukan deposit dua bulan (yang akan dikembalikan).
"Jadi, baguslah fokus dulu tambah pendapatan dan tabungan. Lebih bagus kalau menabung dalam emas sebab dapat sekitar 10 peratus pulangan tahunan (cepat simpanan kita beranak).
"Kemudian boleh jual emas untuk deposit hartanah pertama!" tulisnya.
Dalam perkembangan sama, Shara turut mengakui, rakyat Malaysia sering disarankan untuk membeli rumah lebih cepat kerana aset itu bakal naik harga.
Dia bagaimanapun berpandangan, kenaikan itu sebenarnya tidak akan membawa sebarang masalah, asalkan anda mempunyai kemampuan untuk membeli.
"Kalau kita pilih cara yang efektif untuk tambah pendapatan, kadar kenaikan pendapatan kita akan lebih laju berbanding kenaikan harga rumah.
"Jadi kenapa perlu bimbang? Bertenang dan fokus untuk kukuhkan pendapatan dan simpanan dahulu.
"Berapa ramai orang yang terburu-buru beli rumah akhirnya silap beli rumah, 10 tahun peram pun tak naik-naik harga dan peritnya menanggung komitmen bayaran bulanan sebab gaji naik pun RM100 setahun!" tegasnya.
Komitmen bulanan untuk beli rumah kebiasaannya lebih tinggi berbanding menyewa.
Jelas Shara, pada fasa awal bekerja, kebanyakan golongan muda masih mencari rentak untuk menyesuaikan jiwa di alam pekerjaan.
Justeru, tidak mustahil mereka akan berpindah kerja bagi mencari karier yang 'kena' dengan mereka.
"Tidak hairan kalau setahun kerja sini, dua tahun lompat sana. Bayangkan kalau kita sudah beli rumah berdekatan tempat kerja, kemudian kita cadang untuk cari kerja baharu.
"Kita akan terikat untuk cari pekerjaan hanya di sekitar rumah.
"Rugi dan tertekan! Lebih baik kita sewa dulu kan? Bila-bila merancang untuk pindah selepas setahun dua, go!
"Cuma, jangan pula menyewa tapi simpanan habuk pun tiada!" katanya.
Kebiasaannya anak muda masih mencari rentak untuk menyesuaikan jiwa di alam pekerjaan.
Wanita berkenaan turut menasihatkan anak-anak muda agar menyewa, dalam masa sama mengumpul wang sedikit demi sedikit untuk tujuan membeli rumah, terutamanya untuk pelaburan.
Ini kerana rumah adalah aset fizikal yang baik untuk masa depan termasuk aset persaraan.
"Sama ada untuk kita sewakan dan dapatkan aliran tunai dalam bentuk pulangan bulanan (cashflow), ataupun untuk jual dan dapatkan duit lump sum daripadanya (capital gain)," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram