Jemaah haji kedua Malaysia meninggal dunia kena serangan jantung ketika tawaf


  • Primer
  • Jumaat, 31 Mei 2024

Syed Saleh berkata, Mohd Zahir dikejarkan ke klinik di Masjidil Haram sebelum dibawa ke Hospital Saudi untuk rawatan lanjut, di mana dia disahkan meninggal dunia. — Gambar hiasan

SEORANG lagi jemaah Haji Malaysia meninggal dunia di Makkah selepas mengalami serangan jantung ketika menunaikan tawaf umrah pada Rabu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Delegasi Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Menurutnya, Mohd Zahir Ismail, 58, dari Alor Setar, Kedah, sedang menunaikan tawaf umrah pertamanya bersama isteri dan rakan jemaah dari Maktab 78 pada Rabu malam sebelum rebah akibat serangan jantung di kawasan mataf iaitu kawasan lapang sekitar Kaabah.

BACA LAGI: Enam inisiatif PERKESO pemangkin pertumbuhan pekerjaan baharu, rungkai kelompangan jaringan perlindungan sosial

BACA LAGI: 1.45 juta pekerja terima manfaat peningkatan siling gaji bulanan bagi caruman Perkeso kepada RM6,000

“Dengan rasa dukacita yang mendalam, kami melaporkan kematian kedua melibatkan seorang jemaah haji lelaki.

"Arwah merupakan ahli kumpulan KT66 yang baru tiba di Makkah pada 29 Mei lalu. Pada malam itu, kami telah menganjurkan umrah pertama mereka selepas solat isyak.

"Namun tiba-tiba dia rebah akibat serangan jantung ketika tawaf," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah, Arab Saudi pada Jumaat.

Syed Saleh berkata, Mohd Zahir dikejarkan ke klinik di Masjidil Haram sebelum dibawa ke Hospital Saudi untuk rawatan lanjut, di mana dia disahkan meninggal dunia.

Jenazah disembahyangkan selepas solat zuhur di Masjidil Haram pada Khamis dan jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Syaraiee pada petang hari yang sama.

Syed Saleh berkata, pegawai kebajikan, kaunselor dan fasilitator haji TH turut menziarahi isteri Allahyarham bagi memberi bantuan sewajarnya.

“Bagi pihak TH, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan kami mendoakan semoga segala amal ibadah beliau diterima ALLAH,” katanya.

Pada 24 Mei lalu, seorang jemaah lelaki berusia 72 tahun dari Kubang Pasu, Kedah, meninggal dunia di sebuah hospital di Makkah akibat saluran darah pecah. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram