SAAT ini rasanya radar aplikasi TikTok antara netizen Malaysia dan Indonesia sedang hangat, dengan masing-masing saling berbalas kecaman.
Ia susulan satu video yang dikongsi rakyat Indonesia menceritakan pengalaman mereka sepanjang menjejakkan kaki ke Malaysia.
Menerusi akaun di aplikasi @cutielilpony, dia memuat naik beberapa keping foto di kawasan sekitar Kuala Lumpur.
Antaranya, pengguna media sosial itu mendakwa Kuala Lumpur dibanjiri dengan kehadiran warga asing terdiri daripada Bangladesh sehingga 'menenggelamkan' masyarakat tempatan sendiri.
Malah katanya, makanan yang dihidangkan di beberapa kedai makan juga memiliki rasa yang kurang enak.
"Cuba ke kafe viralnya, ternyata pastri tidak ada yang enak, benar-benar hambar dan rasa aneh. Nasi kandar dan nasi lemak juga tidak enak. KL juga kotor," tulisnya.
Bagaimanapun, perkongsian bersifat negatif yang dibuat untuk menggambarkan lokasi itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan warga maya khususnya rakyat Malaysia.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata rakyat Malaysia mula mengkritik hantaran yang dimuat naik @cutielilpony.
Kalau nak tahu, situasi 'perang siber' dua negara itu sebenarnya bertitik tolak daripada satu video dimuat naik oleh pengguna akaun TikTok @inai2u yang berkongsi pengalamannya melancong ke Jakarta sebelum ini.
Dia memuat naik kompilasi gambar sepanjang lokasi yang dilawati, barangan dan makanan yang ditemui beserta kapsyen untuk menggambarkan keadaannya.
Berdasarkan pengalamannya, dia menyifatkan kunjungan ke ibu negara Indonesia itu kurang memuaskan hatinya.
Tangkap layar menujukkan hantaran pengguna media sosial Malaysia yang menggambarkan pengalaman mereka sepanjang menjejakkan kaki ke Indonesia.
"Kalau tidak ke Jakarta aku tidak akan tahu yang pandangan pertama kami (Jakarta agak) kotor dan serabut.
"Kami makan di restoran tapi masih kotor. Cawan berkulat, nasi ada ulat, padahal dalam gambar dalam elok saja. Semua restoran kami pergi kotor.
"Macam mana mereka boleh makan tepi jalan macam ini?
"Thamrin City agak overrated, bagi aku tak kena cita rasa kami langsung," katanya menerusi kapsyen di setiap gambar.
Bagaimanapun, ujarnya, dia berpuas hati dengan penginapan yang ditempah, berbaloi dengan harga.
"Namun lorong hotel kotor sangat, tikus sebesar kucing," luah pengguna TikTok itu lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram