[VIDEO] Helikopter bawa Presiden Iran, pegawai kanan terhempas


  • Benua
  • Ahad, 19 Mei 2024

Helikopter yang membawa Ebrahim Raisi bersama pegawai kanan dilaporkan terhempas di barat laut Iran, pada Ahad. — Agensi

HELIKOPTER yang membawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi bersama pegawai kanan dilaporkan terhempas di barat laut Iran, pada Ahad.

Bagaimanapun, setakat laporan ini ditulis, masih belum ada maklumat lanjut mengenai jenis kerosakan yang dialami atau sama ada insiden tersebut melibatkan kemalangan jiwa.

Pasukan penyelamat dilaporkan masih berusaha pergi ke tapak kemalangan itu ekoran cuaca buruk.

Difahamkan, Raisi dalam penerbangan pulang daripada sebuah majlis bagi merasmikan pembukaan empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan, sebelum helikopter dinaikinya terhempas sewaktu mendarat di wilayah Varzaqan.

BACA LAGI: Tak pulang beraya, mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram simpan hajat mahu rai hari lahir ibu

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki selisih maut, kereta rentung ketika isi minyak di Kangar



Helikopter itu dilaporkan sedang dalam perjalanan menuju ke bandar Tabriz, barat laut Iran.

Agensi Berita Republik Islam (IRNA) melaporkan, Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian, Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur Malek Rahmati, Imam Solat Jumaat Bandar Tabriz Hojjatoleslam Al Hashem antara individu yang berada di dalam helikopter itu.

Menurut Koresponden IRNA, pasukan bantuan dan penyelamat telah dihantar ke kawasan tersebut dan operasi mencari masih berjalan sehingga kini.

Keadaan cuaca berkabus dan kawasan yang sukar dilalui menyebabkan operasi mencari dan menyelamat terganggu.

Laporan itu menyebut jarak penglihatan di kawasan berkenaan cuma sekitar lima meter. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram