[VIDEO] Tengkorak budak 9 tahun retak kena serang warga emas ketika berbasikal ke rumah


  • Benua
  • Khamis, 25 Apr 2024

Tangkap layar memaparkan suspek secara tiba-tiba menyerang mangsa dalam kejadian di Shandong, China pada Sabtu lalu.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun mengalami kecederaan parah selepas diserang seorang warga emas secara tiba-tiba ketika bersendirian di tepi jalan pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang di Kampung Langzhuang, daerah Guan, bandar Liaocheng, Shandong, China, budak berkenaan dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya dengan menaiki basikal.

Polis Daerah Guan melaporkan, suspek merupakan warga emas berusia 66 tahun dan berasal dari kawasan perkampungan yang sama dengan mangsa, Xiao Lang.

"Suspek sudah ditahan dan siasatan sedang dijalankan ketika ini," katanya.

Insiden mengejutkan itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berhampiran sebelum dikongsikan di media sosial.

BACA LAGI: [VIDEO] Cimpanzi menggila serang, makan badan rakan baik tuan sendiri

BACA LAGI: Polis Mersing terima 5 laporan dakwaan serangan seksual ketua sayap pemuda parti politik

Berdasarkan video yang dimuat naik, suspek yang berjalan kaki secara tiba-tiba mendekati mangsa sebelum mengangkat dan menghentak mangsa ke atas tanah dengan kuat beberapa kali.

Difahamkan, suspek dikatakan mengalami masalah mental.

Selepas beberapa minit, lelaki itu kemudian dengan selamba beredar dari lokasi tersebut tanpa menghiraukan keadaan mangsa yang berlumuran darah.

Sementara itu, rakan kepada bapa mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Zhang berkata, kejadian berlaku hanya kira-kira lima meter dari rumah kanak-kanak berkenaan.

Difahamkan, mangsa dibawa ke hospital berdekatan sejurus selepas kejadian.

"Hentakan yang serius menyebabkan keretakan di tulang tengkorak Xiao Lang.

"Anak itu juga terpaksa menerima 18 kali jahitan di kepalanya akibat serangan tersebut," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram