Amalkan... Mustajab doa 10 minit terakhir sebelum buka puasa


  • Mukmin
  • Rabu, 06 Apr 2022

KELEBIHAN untuk orang berpuasa ialah doanya tidak akan ditolak.

KETIKA bulan Ramadan, waktu Maghrib merupakan saat yang ditunggu-tunggu kerana ketika itulah umat Islam akan berbuka puasa sekali gus menunaikan Rukun Islam yang ketiga.

Malah, dalam Islam juga seseorang Muslim itu dianjurkan untuk berbuka puasa dengan kadar segera seperti yang disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka.

Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Manusia itu akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagimana mereka mempercepatkan berbuka puasa," — [Riwayat al-Bukhari (1957) dan Muslim (1098)]

Di sebalik nikmat berbuka puasa yang dinantikan itu, ada perkara lebih utama yang boleh dimanfaatkan oleh umat Islam iaitu berdoa sebelum berbuka seperti mana yang diriwayatkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”. — [Riwayat Ibn Majah (1753)]

Malah, penceramah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berkata, di antara keuntungan bulan Ramadan ialah doa yang mustajab bagi orang yang berpuasa dan 10 minit sebelum berbuka waktu yang sesuai.

BACA LAGI: Tadahlah tangan ketika Ramadan, ketahui senarai doa ketika berbuka dan bersahur

"Kesimpulan mudah iaitu 10 minit sekurang-kurangnya sebelum berbuka puasa, kita dah duduk di meja makan atau bersila di kawasan nak makan atau di masjid selepas baca doa selamat tahlil, kita bacakan pula doa kerana ketika itu doa tidak akan ditolak.

"Apa antara doa yang tidak ditinggalkan? Para ulama menyebut ada susunan doa Imam Ghazali yang mana doa itu jangan ditinggalkan," katanya menerusi laman TikToknya.

Doa yang dikatakan oleh Don Daniyal ialah; "Ashadu an la ilaha illallah, Astaghfirullah, As'alukal jannah, Wa a'uzu bika minan naar, Allahumma inna ka afuwwun tuhibbul afwa fa'fu anni."

Maksudnya: "Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan ALLAH, aku memohon keampunan daripada ALLAH, aku memohon syurga dan perlindungan daripada api neraka. Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau adalah Dzat yang Maha Pemaaf. Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah aku."

Semoga doa ini bermanfaat dan jangan lupa kerana ini kelebihan untuk orang berpuasa iaitu doanya tidak akan ditolak sekurang-kurangnya 10 minit sebelum berbuka puasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram