SEORANG pelanggan sebuah bengkel dan pusat cuci kereta berputih mata selepas kenderaan jenis Honda City miliknya dilarikan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali pada Isnin.
Kejadian tersebut turut dikongsikan pemilik bengkel berkenaan menerusi Facebooknya dan video tersebut ditularkan semula di Telegram Malaysia Info/Kemalangan pada Selasa.
Menurut pemilik premis yang tidak didedahkan namanya itu berkata, suspek pada mulanya kelihatan mundar-mandir di kawasan tersebut dalam keadaan yang mencurigakan.
"Kejadian baru berlaku malam semalam (Isnin) Seksyen 16 Shah Alam, Selangor.
"Kereta pelanggan dibawa lari oleh penyangak berbaju hitam hijau. Suspek memperdayakan pelanggan untuk meminta kunci kereta dan membawa lari kereta Honda City tersebut.
"Pada awalnya penyangak tersebut berlegar-legar di kawasan luar kedai untuk mencari barang yang boleh dicuri sebelum bertindak masuk ke dalam kedai saya dan terus masuk ke dalam kereta," katanya.
Tambahnya lagi, suspek meminta kunci kenderaan berkenaan daripada salah seorang pekerja namun tidak diberikan kerana berasa curiga.
"Pekerja saya tidak memberikan kunci kepada suspek dan terus menyerahkan kunci tersebut kepada pelanggan.
"Namun suspek berjaya memperdaya pemilik kenderaan tersebut untuk menyerahkan kunci kepadanya.
"Setelah kunci diserahkan, suspek terus masuk ke dalam kereta dan melarikan kenderaan tersebut," katanya.
Menurut pemilik bengkel berkenaan, satu laporan polis dibuat dan kes tersebut masih berada dalam siasatan polis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram