SEORANG wanita berdepan tuduhan membunuh selepas didakwa sengaja mengunci teman lelakinya dalam sebuah bagasi pakaian di Florida, Amerika Syarikat pada Februari 2020.
Sarah Boone, 42, melaporkan kejadian itu kepada pihak polis dengan dakwaan bahawa kekasihnya, Jorge Torres meninggal dunia di kediamannya dekat Winter Park, Utara Orlando, Florida.
Boone menerusi keterangannya berkata, mereka terlebih dahulu sedang menikmati sajian minum petang sebelum saling bergurau senda dengan meletakkan salah seorang daripada mereka ke dalam bagasi.
Tertuduh walau bagaimanapun menjelaskan bahawa dia telah membuka zip pada bagasi tersebut sebelum naik ke bilik dan tidur.
Namun, alangkah terkejutnya dia apabila pada keesokan harinya, teman lelakinya dikatakan masih tidak berganjak dan ditemui mati dalam bagasi tersebut.
Susulan kejadian itu, satu siasatan polis dijalankan berhubung kejadian terbabit dan kenyataan Boone dilaporkan tidak sepadan dengan penemuan bukti dari video kamera litar tertutup (CCTV) kediamannya.
Dalam rakaman tersebut, Torres kelihatan sedang menangis dan merayu agar dibebaskan dari beg tersebut dan Boone dilihat hanya tertawa ketika kejadian.
BACA LAGI: ‘Teman lelaki durjana’, bekas posmen angguk faham ketika didakwa bunuh Bella
BACA LAGI: [VIDEO] Kekasih usia 18 tahun rempuh teman lelaki keluar minum dengan kenalan
"Teman lelaki saya sudah mati, kami bergurau malam tadi dan saya memasukkan dia ke dalam bagasi dan bermain sorok-sorok sampai saya tertidur.
"Sebaik terjaga, dia masih di dalam beg dan mati ketika kejadian, saya tidak tahu apa yang berlaku," katanya ketika melaporkan insiden itu kepada polis.
Tambahnya, mangsa turut mengalami kesan pendarahan di mulutnya dan kelihatan kaku ketika kejadian.
Terbaharu, Boone hadir ke mahkamah bersama peguam baharunya pada Oktober 2023 dan kes masih lagi dalam perbicaraan.
Difahamkan, ia merupakan kali keempat tertuduh datang bersama peguam berbeza sejak penahanannya pada Februari 2020.
Namun, tertuduh masih enggan mengaku salah dan terus mendakwa kematian teman lelakinya tiada kaitan dengan niat membunuh. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram