‘Teman lelaki durjana’, bekas posmen angguk faham ketika didakwa bunuh Bella


Mahkamah menetapkan 19 Februari depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

SEORANG lelaki yang juga bekas posmen didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor, pada Rabu atas pertuduhan membunuh ibu tunggal, Mila Sharmilah Samsusah, 32, pada hujung tahun lalu.

Tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, yang juga teman lelaki kepada mangsa yang dikenali sebagai Bella itu hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norasidah A Rahman.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati boleh dikenakan 12 sebatan.

BACA LAGI: [VIDEO] Analisis DNA sepadan, polis sahkan rangka tak sempurna milik Bella

BACA LAGI: 'Sepatutnya kita masih bersama', kakak mahu tuntut keadilan buat arwah Bella

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Februari depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid sementara tertuduh diwakili peguam, Syahril Anuar.

Pada Selasa, polis mengesahkan rangka manusia ditemui di sebuah rumah terbiar di Jalan Imam Jailani, Tongkang Pechah dekat Batu Pahat, Jumaat lalu adalah Bella. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram