Baru keluar penjara 2 minggu lalu, 3 lelaki ditahan semula terlibat kes samun


  • 112
  • Selasa, 14 Nov 2023

Tiga lelaki ditahan selepas didapati terlibat dalam kes samun di parkir kereta di Jalan Melaka Raya, Melaka pada Isnin.

POLIS berjaya menahan tiga lelaki dipercayai terlibat kes samun dalam tempoh kurang lima jam selepas seorang daripada mereka meragut wanita di parkir kereta di Jalan Melaka Raya, Melaka pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 27, 28 dan 30 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Tanjung selepas pergelutan antara polis dan kumpulan penjenayah berkenaan pada pukul 9.40 malam Isnin.

Beliau berkata, dalam kejadian pada pukul 5 petang, seorang wanita berusia 19 tahun bersama ibunya sedang menuju ke arah tempat letak kereta sebelum didatangi seorang lelaki menaiki motosikal dari arah belakang dan meragut beg bimbitnya yang berisi komputer riba, Ipad dan beg duit.

"Mangsa dan ibunya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala suspek berjaya meloloskan diri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 30 tahun yang meragut wanita itu merupakan penjenayah tegar dan baharu keluar penjara pada 30 Oktober lepas kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Ketiga-tiga yang ditahan mengaku terlibat dalam dua kes samun pada hari sama dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram