Beri bayi 16 bulan dadah sampai kena sawan, sepasang kekasih ditahan di Johor


  • 112
  • Jumaat, 22 Dis 2023

Pasangan kekasih ditahan selepas dipercayai memberi bayi mereka berusia 16 bulan dadah.

SEPASANG kekasih ditahan selepas disyaki memberikan dadah bayi lelaki berusia 1 tahun 4 bulan yang dipercayai anak kandung mereka.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pasangan yang berusia 34 dan 31 tahun itu ditahan pada 12 Disember lalu.

"Aduan diterima selepas Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, Johor membuat laporan mengenai bayi malang itu yang didapati positif dadah.

"Selepas mendapat aduan, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di Jalan Salleh, Johor Bahru dan seorang wanita berusia 31 tahun di HSA, Johor Bahru.

"Wanita yang juga ibu kandung bayi berkenaan ditahan ketika menghantar mangsa yang mengalami sawan ke hospital," katanya menerusi kenyataan media pada Jumaat.

Menurut Rahmat, pemeriksaan ujian air kencing yang dibuat ke atas pasangan itu juga mendapati kedua-duanya turut positif.

"Kedua-duanya sudah dituduh di mahkamah pada Khamis mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menyebabkan seorang bayi positif dadah.

"Namun mereka tidak mampu bayar jamin ditetapkan sebanyak RM6,000 dan kini ditahan di Penjara Koreksional Ledang dan Penjara Kluang.

"Kes akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 23 Januari depan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram