
KEKECOHAN tercetus dalam saingan peringkat kumpulan antara dua kelab divisyen tiga Liga Thailand yang menyaksikan pengadil perlawanan menjadi mangsa amukan para pemain dan penyokong.
Perlawanan yang berlangsung pada 18 Februari lalu itu menyaksikan Pattani FC terikat seri 1-1 dengan Phuket Andaman FC.
Punca kekecohan tidak dapat dipastikan namun insiden itu sempat dirakam sebelum tular di media sosial.
Berdasarkan laporan portal Thai, difahamkan kejadian itu berlaku semasa pengadil mahu keluar dari padang selepas perlawanan berakhir.
Pemain simpanan Pattani FC yang mengenakan jersi nombor 4, Saphie Hama bersama dua pegawai kelab, Sulkeefli Somae dan Muhammad Arfar Jaming mendekati pengadil berkenaan dalam cara kurang sopan.
Mereka kemudian dikatakan tidak berpuas hati dan mahu mengasari pengadil tersebut.
Pengadil terbabit yang dikejar kedua-dua lelaki berkenaan, melarikan diri ke arah bangku pasukan lawan sebelum terjatuh akibat trek licin.
Ketika itu, dia turut dibaling dengan objek seperti botol air oleh penyokong Pattani FC.
Tidak terhenti di situ, penyokong Pattani FC bertindak mengejar pengadil itu yang lari masuk ke bilik persalinan sebelum menumbuknya.
Polis terpaksa masuk campur untuk meredakan ketegangan yang timbul.
Pengerusi Lembaga Disiplin Persatuan Bolasepak Thailand, Pol. Lt. Gen. Amnuay Nimmano semasa menghadiri mesyuarat jawatankuasa etika disiplin berhubung kejadian berkenaan mengenakan denda kepada pemain dan pegawai kelab yang terlibat.
Saphie Hama didenda 3,333 baht (RM424.96) manakala Sulkeefli dan Arfar juga turut dikenakan penalti sama.
Sementara itu, Amnuay turut mengenakan denda 10,000 baht (RM1,275) kepada penyokong yang terlibat dengan membaling botol kepada pengadil.
"Seorang penyokong yang bertindak kasar dengan menumbuk pengadil pula didenda 16,666 baht (RM2,124)," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram