SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dikhuatiri hilang di Jalan Kampung Perigi, Sematan, Sarawak pada Rabu akhirnya ditemui selamat selepas 24 jam.
Mangsa ditemui ditemui dalam keadaan sihat oleh Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba dalam radius 2 kilometer (km) dari lokasi kanak-kanak itu dilaporkan hilang pada pukul 1.30 petang Khamis.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa, Muhammad Rayyan Bujang Abdul Qayyum dilaporkan hilang sekitar pukul 2 petang Rabu ketika sedang bermain di belakang pondok rumah kongsi di kawasan berkenaan semasa menunggu ibu bapanya selesai bekerja di lokasi kejadian.
"Kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada bapa dan nenek mangsa untuk tindakan seterusnya. Susulan penemuan mangsa pada hari ini (Khamis), operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan serta merta," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan ibu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu, Sarawak berhubung kejadian pada pukul 2.05 petang Rabu.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Turut sama dalam operasi SAR tersebut ialah anggota Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram