[VIDEO] Kena samun depan bank Jalan Beserah, lelaki terbaring lesu RM150,000 lesap sekelip mata


  • 112
  • Rabu, 15 Feb 2023

Tangkap layar memaparkan seorang lelaki terbaring di atas jalan raya selepas disamun di Jalan Beserah, Kuantan, Pahang pada Selasa.

POLIS kini sedang mengesan dua suspek yang terlibat dalam satu kejadian samun seorang lelaki di hadapan sebuah bank di Jalan Beserah, Kuantan, Pahang pada Selasa.

Kejadian itu sempat dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Dalam video berdurasi 2 minit 50 saat itu memaparkan mangsa terbaring di kawasan parkir.

Difahamkan mangsa disamun oleh dua individu yang tidak dikenali selepas keluar dari bank di kawasan tersebut dan mengalami kecederaan di kepala selepas dihentak menggunakan topi keledar.

Turut kelihatan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan anggota polis selain orang awam yang mengerumuni lokasi mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya mengesan video tular berkenaan dan hasil semakan mendapati, kes berkenaan berlaku pada jam 2.15 petang, pada Selasa.

"Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan berlaku satu kejadian samun di hadapan bangunan Ambank, Jalan Beserah, Kuantan kira-kira jam 2.40 petang.

"Siasatan awal mendapati, mangsa, 41, disamun dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dan dalam kejadian itu mangsa terjatuh dan terbaring diatas jalan serta wang RM150,000 yang baru dikeluarkannya juga dilarikan suspek terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Wan Zahari lagi, pihaknya masih berusaha mengesan suspek yang masih bebas dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia boleh mengganggu siasatan dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkan maklumat ke IPD Kuantan di talian 09-5652222 atau mana-mana balai yang berdekatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram