[VIDEO] Wanita berputih mata, kerugian RM500 disamun di stesen minyak Cheras


  • 112
  • Khamis, 23 Feb 2023

Tangkap layar rakaman video suspek melarikan beg tangan milik mangsa di sebuah stesen minyak di Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu.

NIAT seorang wanita untuk mengisi minyak kenderaannya di sebuah stesen minyak dekat Cheras, Kuala Lumpur bertukar malang selepas dia disamun oleh dua individu lelaki yang tidak dikenali pada Rabu.

Melalui video tular yang dimuat naik pada halaman Facebook We are Malaysian itu memaparkan wanita tersebut sedang melihat resit pembelian selepas mengisi minyak kenderaannya jenis Toyota Yaris.

Kehadiran suspek yang secara tiba-tiba muncul dari arah kiri kenderaan tersebut tidak disedari mangsa. Suspek yang memakai topi keledar warna biru itu dilihat menunggu mangsa membuka pintu keretanya.

Wanita itu kemudian membuka kunci kereta dan suspek dengan pantas menyamun beg tangan mangsa yang terletak di bahagian tempat duduk penumpang hadapan.

Mangsa juga dilihat cuba mengejar suspek yang melarikan diri dengan motosikal namun gagal apabila wanita berkenaan terjatuh selepas ditolak.

Pada masa sama, seorang lagi suspek yang menunggang motosikal hampir melanggar mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, polis sedang menyiasat sebuah video tular berhubung kejadian samun terhadap seorang wanita tempatan di sebuah stesen minyak di Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu.

"Video berdurasi 14 saat di laman Facebook yang dikesan pihaknya pada kira-kira 7.30 malam Rabu itu, mangsa kelihatan tidak menyedari bahawa suspek sedang menunggu dia untuk membuka kunci kenderaan.

"Selepas mengisi minyak, wanita itu membuka kunci kereta dan suspek dengan pantas menyamun beg tangan mangsa yang terletak di bahagian tempat duduk penumpang hadapan," katanya.

Tambahnya lagi, hasil semakan mendapati kejadian itu berlaku pada kira-kira 9 pagi Rabu yang melibatkan dua lelaki bertopi keledar menaiki motosikal.

"Seorang daripada suspek membawa lari beg tangan mangsa yang diletakkan di tempat duduk penumpang bahagian hadapan kereta milik mangsa dan anggaran kerugian sebanyak RM500,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram