[VIDEO] Warga emas gaduh main catur, hampir 'checkmate' sesama sendiri


  • Tular
  • Selasa, 21 Feb 2023

Tangkap layar dua orang lelaki bergaduh ekoran daripada tidak berpuas hati dengan starategi penyusunan buah catur masing-masing.

PERMAINAN catur merupakan permainan yang boleh meningkatkan kemahiran berfikir individu dan pada masa yang sama menguji kesabaran pemain tersebut.

Hal ini kerana, seorang pemain mengambil masa untuk menyusun strategi menggerakkan antara satu buah catur dengan buah catur yang lain.

Sehubungan itu, walaupun catur nampak seperti permainan yang santai tetapi ia juga boleh mengundang perbalahan sehingga mencetuskan pergaduhan.

Itu yang berlaku menerusi satu video tular dimuat naik di Twitter nanmanjoi8715, yang memaparkan dua orang lelaki warga emas bertelagah sesama sendiri ketika bermain catur di sebuah kedai makan pada Selasa.

"Nasib baik tak kena hempuk dengan papan catur," ciapnya.

Dalam video berdurasi seminit 40 saat menunjukkan seorang lelaki berkemeja ungu kelihatan tidak berpuas hati dengan tindakan lawannya menyusun pergerakan buah catur.

"Mengada-ngada kau ini. Aku di sini, kau sini. Nampak tak?

"Selepas itu kau ke sini lagi, aku sekat la!," jeritnya.

Pertelingkahan dua individu tersebut menjadi semakin panas apabila kedua-duanya tidak dapat menahan sabar dan terus meninggikan suara antara satu sama lain.

Lelaki berkemeja ungu itu kemudian dilihat menghambur buah catur berkenaan sebelum lawannya yang memakai baju hijau serta bertopi biru mengambil papan catur tersebut dan cuba menghayun papan tersebut ke arahnya.

Kedua-dua mereka juga dilihat cuba bertumbuk di luar kedai namun sempat dileraikan oleh orang awam yang berada di premis berkenaan.

"Dah tua-tua pun nak bergaduh. Apa ini? Dah jangan main lagi.

"Tua-tua, otak tak ada. Tak payah cakap. Dah balik," kata salah seorang individu yang meleraikan pergaduhan tersebut.

Setakat berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan lokasi sebenar dan tarikh kejadian itu berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram