[VIDEO] Lelaki maut baiki kereta sendiri di Putrajaya


  • Tular
  • Jumaat, 17 Feb 2023

MANGSA ditemui orang awam dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

SEORANG lelaki maut di hadapan parkir Blok B, Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), Presint 5, Putrajaya dipercayai dihempap keretanya sendiri pada Jumaat.

Ketika kejadian, mangsa cuba membaiki membaiki tayar hadapan keretanya.

Melalui video Tular yang dimuat naik di aplikasi Telegram Info Semasa Official, kelihatan kepala mangsa dihempap di bahagian depan kereta.

Dalam video berdurasi 10 saat, turut kelihatan orang ramai mengerumuni di tempat kejadian.

Menurut individu yang berkongsi video tersebut, mangsa ditemui orang awam dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

Orang awam turut menghubungi pihak polis dan bomba untuk meminta pertolongan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa yang berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Putrajaya.

Katanya, pihak polis menerima laporan pada pukul 11.48 pagi Jumaat dari orang awam menyatakan seorang lelaki tersepit di bawah kenderaan dan polis tiba di lokasi kejadian pada 12 tengahari.

"Setibanya di lokasi kejadian, mayat mangsa yang berada di bawah bahagian enjin kereta jenis Perodua Bezza sudah dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

"Mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Asmadi lagi, pihak Forensik Hospital Putrajaya juga mengambil ujian saringan Covid-19 dan bedah siasat dijangka diadakan esok pagi.

"Rakaman percakapan isteri mangsa juga telah diambil dan keluarga mangsa juga dihubungi bagi maklumkan kejadian, " katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram