[VIDEO] Polis kesan 2 suspek larikan Volkswagen MK6 Golf GTi merah


  • 112
  • Selasa, 14 Feb 2023

Tangkap layar kejadian sebuah kereta dicuri di sebuah kawasan premis kedai di Taman Mutiara Subang, Shah Alam, Selangor pada Jumaat.

POLIS kini sedang mengesan dua suspek yang terlibat dalam satu kes mencuri kenderaan jenis Volkswagen MK6 Golf GTi merah milik seorang pengusaha bengkel di Taman Mutiara Subang, Shah Alam, Selangor pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa'ton Abu Bakar Berkata, dalam kejadian pukul 5 petang Jumaat itu, mangsa meletakkan kenderaan di hadapan bengkel miliknya di alamat No.37 Jalan Utarid u5/3 Taman Mutiara, Subang 40150, Shah Alam, Selangor dalam keadaan berkunci.

Katanya, lebih kurang pada pukul 5.15 petang, mangsa terdengar enjin kereta miliknya dihidupkan dan terus bergerak laju.

"Mangsa kemudiannya terus mengejar suspek dengan menaiki motosikal," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Shafa'ton lagi, ketika berada di kawasan stesen minyak, mangsa mendapati kenderaan miliknya terhenti dalam kesesakan lalu lintas.

"Mangsa sekali lagi mengejar suspek dan sempat memecahkan cermin hadapan tetapi suspek terus memecut kereta tersebut untuk melarikan diri menghala ke Lebuhraya Damansara-Shah Alam.

"Suspek turut melanggar beberapa kenderaan lain pada waktu kejadian," katanya.

Jelasnya, setakat ini polis sudah merakam percakapan saksi yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan seorang pemilik bengkel kereta hanya mampu berputih mata apabila kereta jenis Volkswagen MK6 Golf GTi miliknya dilarikan penyamun di depan kedai miliknya

Melalui video tular yang dimuat naik di Tiktok joe_salleh, terlebih dulu memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi milik suspek menghampiri kereta mangsa berwarna merah yang diparkir di kawasan letak kereta di depan sebuah premis kedai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram