Pemain Vietnam tak serik, sekali lagi 'play victim' ketika berdepan Indonesia


  • Podium
  • Jumaat, 06 Jan 2023

Van Hau banyak kali dikecam penyokong bola sepak berikutan kekasarannya di atas padang. — Agensi

PEMAIN pertahanan Vietnam, Doan Van Hau yang didakwa melakukan kekasaran terhadap pemain Harimau Malaya sebelum ini nampaknya masih belum serik apabila kembali mengulangi perkara sama.

Perkara itu dilihat ketika pemain berusia 24 tahun itu beraksi dalam separuh akhir pertama, menentang Indonesia ketika saingan Piala AFF pada Jumaat.

Dalam perlawanan di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia itu, Van Hau dilihat melakukan kekasaran terhadap penyerang Indonesia, Dendy Sulistyawan.

Dia dilihat mempamerkan aksi keras dan lakonan berlebihan apabila dilihat berpura-pura bergolek di atas padang selepas memijak kaki Dendy pada minit ke-54.

321748574_8558060850902997_3079853902152391386_n

Tangkap layar aksi Van Hau yang mengasari pemain Indonesia sebelum berpura-pura sakit. Agensi

Ini sekali gus menyebabkan ketegangan antara kedua-dua pasukan apabila dilihat saling bertelagah, sebelum dileraikan oleh pengadil perlawanan.

Malangnya, tiada kad kuning dilayangkan kepada Van Hau atas kekasaran tersebut.

Perlawanan antara dua negara itu menyaksikan kedudukan seri 0-0 sehingga wisel penamat, manakala perlawanan timbal balik di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam akan diadakan pada 9 Januari ini.

Ketika perlawanan kumpulan B menentang Malaysia baru-baru ini, Van Hau juga menampilkan semangat kesukanan yang dikritik hebat, yang mana dia dilihat menyiku tonggak pertahanan Malaysia, Azam Azmi di kawasan kotak penalti.

Dia juga didakwa menjadi punca Azam Azmi dilayangkan kad merah oleh pengadil kontroversi dari Jepun, Ryuji Sato. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram