KETERUJAAN penyokong untuk melihat Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2022 semakin membara selepas membenam Singapura 4-1 pada Selasa lalu.
Semestinya kehadiran pemain ke-12 iaitu penyokong skuad bola sepak kebangsaan ditagih menjelang pertemuan dengan Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022.
Namun, di sebalik semangat berkobar-kobar rakyat untuk memberi sokongan, timbul pula isu 21,000 kerusi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Kuala Lumpur yang terpaksa dikosongkan ekoran kerja-kerja pemasangan struktur pentas konsert berkala antarabangsa.
21,000 tempat duduk kosong itu bukan jumlah yang sedikit dan dengan keterujaan penyokong kini, tidak mustahil kesemua kerusi itu akan penuh jika dibuka kepada penyokong.
Tetapi, Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kesemua kerusi itu terpaksa dikosongkan memandangkan konsert tersebut telah ditempah awal.
Aksi pemain Harimau Malaya ketika menewaskan Singapura baru-baru ini. — Facebook/FAM
Tidak puas hati dengan penjelasan tersebut, ruangan komen akaun Facebook rasmi Hannah juga dipenuhi dengan kritikan daripada penyokong skuad bola sepak kebangsaan.
Salah seorang penyokong, Jun berkata, bola sepak dan semangat sukan Malaysia perlu didahulukan.
"Sebagai Menteri KBS, sila lakukan sesuatu untuk memenuhi penyokong dan peminat bola sepak negara untuk mendapatkan tempat duduk.
"Konsert Jay Chou biarkan penganjur fikir macam mana nak selesaikan kawasan 21,000 seat itu," katanya.
Seorang lagi penyokong, Hafiz Nadzri berkata, tiada masalah untuk menganjurkan konsert tetapi kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan.
"Perlawanan yang melibatkan negara perlu diutamakan. Penuhkan stadium dengan penyokong akan membangkitkan semangat pemain. Bukankan semangat patriotik itu lebih penting," katanya.
Perkara sama juga dinyatakan Abdul Wahub yang mengenang kesanggupan Hannah merayu undi daripada rakyat pada PRU15 yang lalu.
"Hannah pernah merayu kepada rakyat. Sekarang, gunakanlah kuasa yang ada untuk rakyat. Bukan suruh batalkan, tetapi minta tangguh pemasangan pentas sahaja. Ingat, rakyat hakim negara," tegasnya.
Untuk rekod, sekiranya Harimau Malaya layak ke peringkat akhir, berkemungkinan SNBJ akan menjadi lokasi perlawanan pada 16 Januari manakala konsert Jay Chou pula diadakan pada 15 Januari depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram