Sukar jangka taktikal Thailand, 'ekor' sejati jadi senjata Harimau Malaya


  • Podium
  • Jumaat, 06 Jan 2023

Brendan mengakui sukar untuk menjangkakan corak permainan skuad Gajah Perang itu kerana mereka mempunyai taktikal yang berbeza. — Facebook / FAM

KAPTEN Harimau Malaya, Brendan Gan mahu rakan sepasukannya turun berjuang mencari kemenangan demi negara ketika aksi separuh akhir pertama Kejohanan Piala AFF 2022 menentang Thailand pada Sabtu.

Dia menyeru rakan seperjuangan memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri untuk memberi persembahan terbaik kepada negara.

"Kami mahu menang tidak kira siapa pun lawan kami. Corak permainan kami adalah menyerang dan jaringkan seberapa banyak gol yang boleh.

“Bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah satu perasaan yang menakjubkan kerana ia menaikkan bulu roma dan kami berharap dapat memberikan satu lagi malam gemilang buat penyokong," katanya dalam sidang akhbar praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Dalam pada itu, Brendan mengakui sukar untuk menjangkakan corak permainan skuad Gajah Perang itu kerana mereka mempunyai taktikal yang berbeza.

“Sukar untuk kita jangkakan peluang ketika bertemu Thailand kerana sentiasa ada taktikal yang berbeza.

"Mereka mempunyai pemain dengan skil individual yang baik tetapi kami hanya fokus kepada diri kami sendiri dan bukannya kepada mereka kerana ia lebih baik kawal perkara yang mudah dikawal,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon menganggap pasukan bimbingan Mano Polking kali ini bukanlah pasukan lemah walaupun tidak dibarisi beberapa pemain utama seperti Malaysia.

“Saya tak rasa mereka lemah, mereka merupakan pasukan dengan kualiti serangan yang bagus," katanya.

Thailand bakal beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum Malaysia bakal bertandang ke Bangkok untuk aksi separuh akhir kedua. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram