SNBJ ‘dibolot’ pentas Jay Chou: Tak confident HM jadi semifinalis ke? — Ultras Harimau Malaya


  • Podium
  • Khamis, 05 Jan 2023

Ultras Malaya berpendapat pihak KBS dan Perbadanan PSM perlu mengambil tindakan segera, bukan sekadar perbincangan semata-mata. — Facebook/FAM

DEBARAN kian dirasakan buat pasukan Harimau Malaya yang bakal bertemu Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Selepas menewaskan Singapura 4-1 pada aksi akhir Kumpulan B, Piala AFF 2022, anak buah Kim Pan-gon berjaya melangkah separuh akhir, sekali gus mencerahkan lagi peluang Malaysia melangkah ke pentas final.

Dalam keterujaan menanti perlawanan Sabtu ini, penyokong skuad kebangsaan menerima berita kurang menyenangkan apabila lebih 21,000 tempat duduk terpaksa 'dikorbankan' kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

Konsert artis terkemuka dari Taiwan itu akan berlangsung di SNBJ pada 15 Januari ini.

Perkara itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan penyokong yang mana mereka berpendapat pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) perlu mengambil tindakan segera dan bukan sekadar perbincangan semata-mata.

Tampil mengulas isu berkenaan ialah wakil dari Ultras Malaya (UM), Hafiz yang mempersoalkan keyakinan pihak PSM terhadap prestasi pasukan kebangsaan.

"Kita kena terima hakikat yang stadium tu bukan milik FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan PSM sebagai pihak yang menguruskan stadium itu perlu menjana keuntungan selain dari event bolasepak yang jarang dimainkan di situ.

"Cuma persoalannya, mengapa pentas itu perlu dipasang terlalu awal? Adakah pihak stadium tidak yakin yang Malaysia akan layak ke separuh akhir?" katanya kepada Majoriti.

jay chou

Proses pemasangan pentas persembahan konsert Jay Chou dari Taiwan sedang dijalankan di SNBJ. — Facebook/FAM

Pada Khamis, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan sudah mengadakan perbincangan bersama PSM berhubung perkara itu.

Menerusi ciapan Twitternya pada hari yang sama, Hannah menjelaskan, permohonan penganjur konsert berkenaan sudah diluluskan sejak 13 Mac 2019, sementara FAM hanya mengemukakan permohonan untuk menggunakan venue SNBJ pada 18 Ogos 2022.

Pada masa sama, Hannah menjelaskan, penganjur konsert yang memerlukan persiapan selama dua minggu melibatkan hampir 700 kru tempatan dan antarabangsa, selain penggunaan 45 jentera berat, 200 speaker dan 800 lampu untuk proses pemasangan pentas juga sudah tertangguh hampir tiga hari, semata-mata bagi memberi ruang buat skuad Harimau Malaya beraksi di peringkat kumpulan sebelum ini.

hannah yeoh

Ciapan Hannah berhubung kontroversi itu pada Khamis.

Dalam pada itu, bukan hanya perlawanan di Bukit Jalil menjadi isu berbangkit kerana saingan separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, Phatun Thani, Bangkok, Thailand juga hangat dibicarakan.

Hal ini kerana, Stadium Thammasat dikatakan bersaiz lebih kecil berbanding stadium nasional mereka iaitu Stadium Rajamangala dan situasi itu dilihat seperti pihak lawan melancarkan perang psikologi dengan Harimau Malaya.

Keputusan menggunakan stadium itu dilihat bakal membataskan pergerakan Ultras Malaya dalam memberikan sokongan padu pada skuad negara kerana venue berkenaan dikatakan mampu memuatkan 25,000 penonton sahaja.

Jika dibandingkan dengan Stadium Thammasat, Stadium Rajamangala boleh memuatkan lebih 55,000 penonton dalam satu masa.

Mengulas isu berkenaan, Hafiz berharap barisan pemain Harimau Malaya akan kekal fokus dalam menghadapi tekanan daripada penyokong pihak lawan.

WhatsApp Image 2023-01-05 at 20.04.22

Ultras Malaya berharap barisan pemain tidak akan terkesan dengan tekanan daripada penyokong skuad Gajah Perang. — Facebook/FAM

"Setahu saya Thailand memang guna stadium tu dari peringkat kumpulan lagi, mungkin ada faktor Stadium Rajamangala tidak boleh digunakan atau memang mereka cuba main perang psikologi untuk pihak lawan.

"Sebab bila stadium kecil dan penyokong ramai, suasana akan jadi padat dan penyokong akan lebih dekat dengan padang itu sedikit sebanyak akan beri tekanan pada pihak lawan.

"Saya rasa tiada masalah jika pemain kita kekal fokus dan mengikut segala taktikal serta perancangan coach, ketika kejohanan Kings Cup pun kita berjaya bermain dengan baik dan menang dengan Thailand, lagi-lagi dalam penentuan penalti yang penuh tekanan," jelasnya lagi.

Sekiranya berjaya menjinakkan pasukan Thailand yang merangkul enam gelaran Piala AFF, skuad Harimau Malaya akan bertemu satu lagi pemenang di aksi separuh akhir antara Vietnam dan Indonesia di pentas final pada 13 dan 16 Januari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram