PEMAIN pertahanan Thailand, Sasalak Haiprakhon optimis untuk membantu pasukannya mencatat keputusan positif dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022.
Tonggak Buriram United itu berpendapat bahawa dia dan rakan sepasukan sudah melakukan persiapan yang cukup rapi sebelum turun pada Sabtu.
Dia akui beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mendatangkan kelebihan buat Malaysia, akan tetapi fokusnya ketika ini adalah untuk memperkuat pasukan.
“Kami dah cukup rehat dan bersedia untuk beraksi. Seperti yang jurulatih kata, Malaysia memiliki ramai penyokong dan atmosfera di sini sangat luar biasa," katanya
Pertahanan berusia 26 tahun itu juga sudah bersedia untuk mengawal benteng Thailand daripada dibolosi dan menyekat kemaraan pemain sayap Harimau Malaya.
“Namun fokus kini tertumpu pada aksi dalam padang. Ya saya bermain di posisi yang Malaysia banyak mulakan serangan, tapi ia bukan pasal Safawi atau Faisal Halim, tapi yang penting kami (Thailand) bermain sebagai satu pasukan.”
“Cuma esok, kita akan lihat pertembungan antara Sasalak dan Safawi,” ujar Sasalak Haiprakhon.
Malaysia bakal berdepan Thailand pada esok pukul 8.30 malam di SNBJ. Seramai 60,000 orang penyokong dijangka hadir menyaksikan perlawanan tumpuan ini.
Sementara itu, ketua jurulatih Thailand, Alexandre Polking gembira dengan penganjuran konsert Jay Chou di SNBJ kerana ia dirasakan bakal ‘melemahkan’ sokongan terhadap Malaysia.
Beliau mengakui perkara itu memberi sedikit kelebihan kepada pasukannya tetapi tetap menjangkakan sokongan padu daripada peminat Harimau Malaya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram