BERBAKI satu hari lagi sebelum perlawanan separuh akhir pertama Malaysia menentang Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Sabtu ini.
Di sebalik penantian menunggu hari perlawanan, timbul isu tidak menyenangkan apabila 21,000 tempat duduk untuk aksi Piala AFF Sabtu terpaksa tidak digunakan kerana disebabkan struktur pentas konsert Jay Chou yang dalam proses pemasangan.
Pada Khamis, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan daripada 80,000 kapasiti, hanya 59,000 tiket akan ditawarkan kepada penyokong kerana sebahagiannya digunakan untuk struktur pentas konsert Jay Chou yang akan berlangsung pada 15 Januari.
Isu berkenaan tidak diterima oleh penyokong Harimau Malaya kerana mereka berpendapat pihak FAM, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) masih ada masa untuk menyelesaikan perkara itu.
Bagi penyokong skuad kebangsaan ataupun dikenali sebagai ekor Harimau Malaya beranggapan dengan 21,000 tempat duduk itu sepatutnya boleh digunakan untuk penyokong memberi sokongan kepada anak buah Kim Pan-gon.
Berbeza dengan penyokong Harimau Malaya, peminat Thailand pula berasa kehilangan sebilangan besar daripada tempat duduk itu memberi kelebihan buat mereka.
Sehingga ada yang mengucapkan 'Terima Kasih' kepada bintang antarabangsa itu kerana mengadakan konsert di venue berkenaan semasa kejohanan Piala AFF.
"Thanh You Jay Chou," kata penyokong skuad Gajah Perang, All Things Thai Football.
"59,000 bilangan yang besar tapi setidak-tidaknya mereka tidak dapat penyokong sehingga 100,000 ribu kerana perkara itu. Hahaha," tambah penyokong tersebut.
Tangkap layar komen penyokong Gajah Perang.
Kehadiran ribuan penyokong Harimau Malaya sememangnya menjadi satu ketakutan buat pasukan lawan dan perkara itu juga dipersetujui oleh pengendali Thailand, Mano Polking.
"“Kami bertuah kerana Malaysia mengadakan konsert di sini (Bukit Jalil). Jadi stadium tidak akan penuh seperti kebiasaan,” memetik dari laporan Makan Bola.
Pada Khamis, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan sudah mengadakan perbincangan bersama PSM berhubung perkara itu.
Menerusi ciapan Twitternya pada hari yang sama, Hannah menjelaskan, permohonan penganjur konsert berkenaan sudah diluluskan sejak 13 Mac 2019, sementara FAM hanya mengemukakan permohonan untuk menggunakan venue SNBJ pada 18 Ogos 2022.
Pada masa sama, Hannah menjelaskan, penganjur konsert yang memerlukan persiapan selama dua minggu melibatkan hampir 700 kru tempatan dan antarabangsa, selain penggunaan 45 jentera berat, 200 speaker dan 800 lampu untuk proses pemasangan pentas juga sudah tertangguh hampir tiga hari, semata-mata bagi memberi ruang buat skuad Harimau Malaya beraksi di peringkat kumpulan sebelum ini.
Sementara itu, Hannah berkata, situasi sama kekal seandainya Malaysia layak ke pentas akhir dengan aksi final kedua dijadual berlangsung pada 16 Januari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram