Skrin besar siar aksi HM-Thailand di 14 lokasi tagih sokongan bawa Malaysia ke final Piala AFF


  • Podium
  • Jumaat, 06 Jan 2023

Hannah (kanan) ketika Sidang Media Majlis Pelancaran Al-Ikhsan X The Messi Brand di Sunway Pyramid pada Jumaat.

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh cuba menambat hati penyokong Harimau Malaya apabila beliau menyatakan akan memasang menyediakan skrin besar di 14 lokasi bagi memastikan rakyat boleh menikmati aksi separuh akhir Malaysia melawan Thailand pada Sabtu ini.

Langkah itu dilaksanakan selepas rata-rata penyokong tempatan berang apabila kehilangan sebanyak 21,000 tempat duduk yang tidak digunakan pada perlawanan itu, susulan struktur pentas konsert penyanyi antarabangsa, Jay Chou dalam proses pemasangan.

AFF PIALA

Senarai skrin besar yang disediakan untuk perlawanan Malaysia menentang Thailand.

Sebelum ini Majoriti melaporkan bahawa pihaknya akan memasang infrastruktur tambahan menjelang perlawanan separuh akhir itu.

"Tunggu pengumuman. Nanti kami akan mengumumkan sesuatu mengenai infrastruktur tambahan," katanya selepas ditemui pada Majlis Pelancaran Al-Ikhsan X The Messi Brand di Sunway Pyramid pada Jumaat.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan, kesemua 59,000 tiket bagi perlawanan pada Sabtu sudah habis terjual.

Katanya, tiada lagi sebarang penjualan tiket tambahan, sama ada secara dalam talian atau di kaunter tiket stadium.

Sementara itu, akaun Facebook dan Instagram Jay Chou itu 'diserang' penyokong skuad Harimau Malaya.

Selain meluahkan rasa tidak puas hati, mereka juga menuntut Jay Chou supaya menangguhkan konsert terbabit bagi memberi laluan untuk 'pemain ke-12' memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram