Rapid Rail lanjut operasi, tambah tren sempena separuh akhir Piala AFF Malaysia-Thailand


  • Primer
  • Jumaat, 06 Jan 2023

Pekhidmatan stesen LRT Bukit Jalil beroperasi hingga pukul 12.30 malam sempena perlawanan separuh akhir Piala AFF 2022 , Sabtu ini.

RAPID Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan melanjutkan waktu perkhidmatan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil hingga 12.30 tengah malam sempena perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara Malaysia dengan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu.

Rapid Rail dalam kenyataan memaklumkan bagi kelancaran pergerakan penumpang yang menaiki tren ke stadium, tren tambahan akan disediakan sejurus tamat perlawanan bagi keselesaan dan kelancaran pergerakan penyokong untuk pulang ke destinasi masing-masing.

"Kesemua stesen integrasi masih boleh diakses bagi penumpang dari Stesen Bukit Jalil yang ingin meneruskan perjalanan menggunakan tren laluan berbeza ke destinasi yang ingin dituju.

"Penumpang juga dinasihatkan agar menggunakan kad Touch ‘n Go serta memastikan baki kad mencukupi sebelum tiba di stesen bagi memudahkan perjalanan pergi dan balik," menurut kenyataan itu.

Sebagai langkah keselamatan, penumpang diwajibkan untuk memakai pelitup muka sepanjang berada di kawasan stesen dan di dalam tren bagi mengekang penularan Covid-19.

Rapid Rail memaklumkan sejumlah 13,892 ruang parkir tersedia di stesen-stesen LRT dan Transit Aliran Massa (MRT) terpilih bagi penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan tren untuk ke stadium.

"Penumpang boleh menikmati kadar bayaran tetap parkir sebanyak RM4 apabila menggunakan kad Touch ‘n Go yang sama ketika menaiki perkhidmatan tren selain beberapa kakitangan tambahan akan ditempatkan di kawasan itu bagi melancarkan pergerakan penumpang keluar masuk di stesen," menurut kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram