​​​​​​​TMJ sekali lagi ‘selamatkan’ FAM, ‘offer’ SSI ganti SNBJ


  • Podium
  • Jumaat, 06 Jan 2023

TMJ mengadakan lawatan ke Wisma FAM bagi melihat latihan pemain Harimau Malaya. — Facebook

PEMILIK kelab Johor Darul Takzim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau TMJ menawarkan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, Johor untuk digunakan oleh skuad kebangsaan.

Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur padat dengan jadual pelbagai acara selain bola sepak akan ditutup sepenuhnya bermula bulan Mac untuk memberi laluan penukaran rumput baharu jenis Zeon Zoysia.

Menerusi satu sesi perjumpaan di Padang Latihan Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), TMJ bertemu dengan Presiden FAM dan para pemain Harimau Malaya semasa sesi latihan.

“Setelah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkenaan penyelenggaraan padang SNBJ yang akan bermula Mac ini, saya berjumpa dgn Presiden FAM untuk berkongsi update dan menawarkan Stadium Sultan Ibrahim untuk digunakan Harimau Malaya sementara menunggu padang SNBJ siap," kata TMJ di Twitter.

323337976_706918650896304_8740440361822641408_n

TMJ bercakap sesuatu kepada pemain Harimau Malaya, Brendan Gan, sambil diperhatikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. — Facebook

Selain untuk kegunaan mana-mana perlawanan, Stadium Sultan Ibrahim juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sekitar Bandaraya Johor Bahru seperti pusat latihan, pusat perubatan dan penginapan para pemain.

Stadium Sultan Ibrahim merupakan sebuah stadium spesifik bola sepak yang mampu memuatkan 40,000 penyokong selain dilengkapi kemudahan lengkap untuk penyokong, pegawai media dan lain-lain.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, Hannah menjelaskan bahawa 21,000 kerusi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur terpaksa dikosongkan berikutan kerja-kerja pemasangan struktur pentas konsert berskala antarabangsa.

Beliau berkata, pemasangan struktur pentas di lokasi konsert berkenaan ditempah awal oleh pihak penganjur artis terkenal dari Taiwan, Jay Chou sejak Mac 2019, turut melibatkan jumlah kru yang ramai.

Justeru itu, beliau berharap peminat bola sepak dapat menerima hakikat adalah mustahil untuk mengubah situasi di stadium berkenaan bagi aksi separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 antara Malaysia dan Thailand, Sabtu ini.

"Saya dapatkan penjelasan (bahawa) kerja pemasangan ini melibatkan 14 hari melibatkan 500 kru, 185 kru antarabangsa masuk ke Malaysia hanya untuk pemasangan, 45 jentera berat, 200 unit alat pembesar suara dan 800 unit lampu. Jadi ia bukan macam khemah pentas biasa yang mana kita boleh pasang (atau) buka sesuka hati.

"Jadi kedua-dua acara mempunyai penyokong yang cukup kuat. Jadi kita nak bagi semua sokongan pada Harimau Malaya, Sabtu ini, dan juga konsert yang telah ditempah lebih awal,” katanya.

1889507

Proses pemasangan pentas persembahan konsert Jay Chou dari Taiwan sedang dijalankan di SNBJ. — Facebook

Pada Khamis, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman memaklumkan sebanyak 21,000 tempat duduk terpaksa dikosongkan kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

Kekosongan 21,000 tempat duduk itu bagaimana pun mendapat kritikan daripada peminat bola sepak tanah air.

Sementara itu, Hannah berkata, situasi sama kekal seandainya Malaysia layak ke pentas akhir dengan aksi final kedua dijadual berlangsung pada 16 Januari ini.

"Yang ni perbadanan (Perbadanan Stadium Malaysia) membuat usaha rancangan untuk tengok bagaimana kita nak tampung untuk semua...jadi itu (final) akan terus berjalan tetapi dalam keadaan macam sekarang di mana kawasan yang akan dihadang.

"...kerana lokasi yang paling sesuai untuk FAM adalah di sini (Stadium Nasional Bukit Jalil) kerana ada pengangkutan awam dan jumlah kerusi yang banyak dan ini adalah keadaan yang tak boleh dielakkan kerana (ada) tempahan yang lebih awal," katanya.

Konsert Jay Chou dijadual berlangsung pada 15 Januari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram