RESTORAN yang menyediakan perkhidmatan pandu lalu kini perlu berjaga-jaga kerana dikhuathiri terdedah dengan jenayah rompakan.
Baru-baru ini, seorang pekerja McDonald's berdepan dengan detik cemas, selepas seorang perompak bertopeng mengacukan pistol ke arahnya dari luar tingkap.
Pekerja yang ketika itu bertugas di bahagian pesanan pandu lalu tersebut dilihat ketakutan dan menjauhi perompak terbabit.
Melihat peluang di depan mata, perompak tersebut bertindak menarik dan membawa lari mesin juruwang berdekatan.
Meskipun kejadian itu berlaku pada 4 November lalu, namun video yang sempat dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) tersebut kini tular di media sosial.
Sementara itu, pihak polis mengesahkan, kejadian tersebut berlaku di restoran McDonald's di 4163 Whitaker Avenue, dekat Philadelphia Utara, Pennsylvania, Amerika Syarikat.
Menurut jurucakap polis Philadelphia, empat individu yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) itu pada mulanya memesan makanan di bahagian pandu lalu restoran berkenaan.
Ketika salah seorang daripadanya mahu mengambil makanan, dia mengacukan pistol ke arah pekerja restoran tersebut dan mengarahkannya untuk menyerahkan wang.
Keempat-empat suspek berjaya melarikan wang, namun jumlah sebenar masih belum diketahui.
Tiada sebarang kecederaan dan tangkapan dibuat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek rompakan bersenjata itu diminta menghubungi Jabatan Polis Philadelphia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram