[VIDEO] Ditumbuk, diherdik, lebih 10 pelajar berlagak samseng kerumun mangsa dalam tandas sekolah di Selangor


  • Tular
  • Khamis, 17 Nov 2022

Kira-kira lebih 10 pelajar terlibat dalam kejadian buli seorang mangsa di sebuah sekolah menengah baru-baru ini.

JENAYAH buli melibatkan pelajar sekolah dilihat masih kerap berlaku tidak mengira sama ada lokasi di desa mahupun bandar.

Begitu juga dengan kejadian yang difahamkan berlaku di sebuah sekolah menengah di Selangor apabila lebih 10 pelajar lelaki dilihat membuli seorang mangsa.

Berdasarkan video yang tular, mangsa dikerumuni oleh beberapa pelajar dan dipercayai lokasi berlaku di tandas sekolah.

Dalam rakaman tersebut, seorang pelajar kelihatan marah dan tidak berpuas hati dengan mangsa tiba-tiba muncul dari arah belakang rakannya kemudian menumbuk muka mangsa.

Selepas itu, beberapa rakan lain meminta agar suspek beredar manakala pelajar lain masih lagi bersama mangsa.

Tidak hanya itu, seorang pelajar lain turut dilihat memegang sebatang kayu berwarna jingga berdiri bersebelahan dengan mangsa.

Kedengaran juga perbualan pelajar lain yang bertanyakan tentang lokasi tempat tinggal mangsa.

“Dok (duduk) mana kau?” soal salah seorang pelajar.

Kejadian itu tentu sahaja mencetuskan kemarahan pengguna media sosial yang menyifatkan kejadian buli seharusnya tidak lagi berlaku di sekolah.

Situasi itu dianggap tidak adil kerana mangsa sendirian berbanding suspek dalam jumlah ramai.

“Pukul curi adalah perkara paling lemah dan penakut sebenarnya,” kata Alannnn.

“Pergi sekolah belajar, kau konon gangster. Tidak ke mana pun gangster dekat sekolah. Keluar-keluar tidak jadi orang pun,” kata Wanlamn.

Sehubungan itu mereka turut mendesak agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera mengambil tindakan manakala mengenakan hukuman kepada pembuli.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram