[VIDEO] Diraba pemandu, gadis tiba-tiba 'kejung' selepas nekad terjun dari motor beca bergerak laju


  • Benua
  • Khamis, 17 Nov 2022

Tangkap layar yang memaparkan mangsa berada dalam keadaan 'kejung' selepas terjun dari beca. — Agensi

SEORANG remaja wanita berusia 17 tahun nekad terjun dari sebuah motor beca yang sedang bergerak laju selepas dirinya menjadi mangsa serangan seksual.

Kejadian yang berlaku di Aurangabad, India pada Ahad itu mengakibatkan remaja itu mengalami kecederaan di kepala selepas terhantuk ke jalan raya.

Insiden itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran yang turut menunjukkan gadis itu 'kejung' seketika akibat hentakan kuat di kepalanya.

Gadis itu juga nyaris digilis sebuah kereta yang berada di belakang motor beca itu.

Polis Aurangabad, Ganpat Darade berkata, mangsa sebelum kejadian menaiki beca itu kira-kira pukul 12 tengah hari untuk pulang ke rumahnya selepas selesai tuisyen.

"Mangsa menaiki motor beca itu dari Usmanpura dan sebelum itu, suspek sempat berbual dengannya sepanjang perjalanan itu.

"Kemudian, suspek mengambil kesempatan dengan meraba mangsa hingga membuatnya ketakutan sebelum mengambil tindakan untuk terjun dari motor beca tersebut.

"Mangsa kemudiannya terjun ketika motor beca sedang bergerak laju dan itu yang membuatkan kepalanya terhantuk dengan kuat di jalan raya," katanya.

Tambahnya, suspek yang dikenali dengan nama Syed Akbar Hameed sudah ditahan polis manakala mangsa kini dirawat di hospital. Keadaannya dilaporkan stabil. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram