SATU video tular yang memaparkan seorang lelaki menarik rambut, memukul, menendang dan mengheret mangsa di dapur menarik perhatian pengguna media sosial apabila mula tular sejak Khamis.
Ia ekoran kapsyen video mengatakan individu terbabit merupakan bekas suami kepada salah seorang penyanyi dangdut popular 90-an tanah air.
Dalam video tersebut, lelaki yang hanya memakai seluar pendek paras lutut berwarna putih itu menarik rambut seorang wanita dipercayai isteri baharunya dan mengheret mangsa di lantai.
Perbuatan zalim lelaki itu turut dilihat oleh seorang kanak-kanak perempuan yang sedang menangis.
Menjadi persoalan apabila seorang wanita turut dilihat di tempat kejadian namun, tidak menghalang atau cuba menghentikan perbuatan lelaki berkenaan.
Pada masa sama, lelaki itu memarahi wanita tersebut sambil menendang dan memukul berulang kali.
“Kenapa kau buat aku macam ini. Kenapa kau tak berubah? Kenapa kau tak berubah?
“Aku kalau boleh aku tak nak tau. Mana janji kau? Apa masalah kau ini? Kenapa kau nak kacau hidup aku?” kata lelaki itu.
Ketika dipukul, mangsa beberapa kali dilihat memohon agar lelaki itu berhenti sambil menahan mukanya dengan tangan.
Warganet turut mempertikai tindakan perakam dan wanita yang berada di tempat kejadian kerana tidak mengambil sebarang tindakan.
“Blur kejap dengan orang yang rakam dan mak cik itu,” kata AniSania.
“Aku yang trauma tengok macam ini. Lelaki ini dah kenapa?” kata Zara Deena.
Tidak hanya itu, netizen turut mengharapkan ada pihak tampil membuat laporan polis dan mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram