TINDAKAN seorang wanita mencuri telefon pintar daripada bakul sebuah motosikal di Pasar Radugunting, Kota Tegal, Jawa Tengah Indonesia, pada Rabu mengundang kecaman ramai apabila perbuatan itu dilakukan di hadapan kedua-dua anaknya.
Ketika kejadian, wanita tersebut dipercayai sudah menyedari akan kewujudan telefon pintar itu ketika mengendong anaknya.
Menyedari situasi itu, wanita terbabit kemudiannya mula memerhatikan kawasan sekeliling bagi memastikan tindakannya tidak dikesan orang ramai.
Dikongsikan di laman Instagram, rakaman itu menerima lebih 20,000 jumlah tontonan setakat ini.
Lebih memilukan, situasi itu turut disaksikan oleh seorang lagi kanak-kanak dipercayai anak wanita tersebut yang menanti di motosikal.
Berjaya mengambil telefon pintar tersebut, suspek kemudiannya terus melarikan diri bersama dua anaknya dengan menunggang motosikal yang diletakkan di ruangan parkir berhampiran.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengecam perbuatan wanita itu.
“Wanita itu telah memberikan satu contoh yang tidak baik kepada anak-anaknya, kalau betul miskin kenapa perlu mencuri dan anaknya masih lagi bayi kecil,” kata arie kusmarini.
“Pengajaran untuk kita semua kalau ada barangan berharga jangan diletakkan di tempat sembarangan, takut ada yang memerhati dan curi,” jelas rachmad23.
“Biar kita miskin daripada dihina, sudah ada dua anak kecil masih mahu mencuri, itu satu perkara yang sangat memalukan bagi seorang ibu,” tambah anwarabifahima.
Masih belum ada sebarang laporan lanjut daripada pihak polis Indonesia berhubung kejadian itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram