[VIDEO] Kasari pramugara, kaki botol diharamkan naik pesawat sampai bila-bila


  • Benua
  • Khamis, 17 Nov 2022

Tangkap layar seorang lelaki berpelakuan biadab meminta minuman alkohol dan mengasari pramugara ketika dalam penerbangan.

TINDAKAN biadab seorang warga asing yang mengasari pramugara dan meminta minuman keras dalam pesawat syarikat penerbangan Singapore Airlines baru-baru ini jelas mengundang padah.

Lelaki berkenaan difahamkan telah disenarai hitam oleh syarikat penerbangan tersebut atas dakwaan melakukan keganasan semasa penerbangan.

Ketika kejadian, suspek dilaporkan telah menolak seorang kakitangan pesawat yang bertugas ketika dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand ke Copenhagen, Denmark.

Insiden itu terjadi selepas lelaki berkenaan meminta minuman alkohol dan mengingkar arahan keselamatan yang ditetapkan semasa penerbangan.

Selain itu, lelaki itu juga turut mengeluarkan kata-kata kesat dan memberikan ugutan keras kepada kru kabin tersebut.

Susulan kejadian itu, warga asing itu kemudiannya diberikan amaran secara lisan atas perbuatannya.

Namun, situasi bertambah serius apabila dia didakwa melakukan keganasan dengan memukul salah seorang kakitangan pesawat yang sekali gus menyebabkan suasana bertukar kecoh ketika kejadian.

Hasil siasatan, syarikat penerbangan itu memutuskan untuk menyenarai hitamkan lelaki terbabit daripada menaiki pesawat syarikat penerbangan tersebut.

Mangsa yang dipukul telah menerima rawatan dan dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan sahaja.

Tinjauan Majoriti di ruangan komen mendapati rata-rata warganet mengecam perbuatan lelaki tersebut.

“Tinggi betul tahap kesabaran pramugara itu, kalau saya di tempatnya sesuatu yang buruk pasti akan berlaku,” kata AnnaTricia.

“Hairan kenapa tiada sesiapa pun yang ambil tindakan, lelaki itu terlampau biadab dan tidak reti patuh undang-undang penerbangan,” jelas Sarah Shimazaki.

“Minta air macam mahu cari gaduh, orang seperti ini memang patut dihalau turun daripada pesawat, menyusahkan ramai pihak,” tambah AwsmMary.

Berhubung insiden itu, syarikat penerbangan Singapore Airlines difahamkan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana penumpang yang membahayakan keselamatan kakitangan dan penumpang mereka. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram