[VIDEO] Teman wanita curang punca lelaki tembak mati 2 jururawat


  • Benua
  • Jumaat, 04 Nov 2022

Tangkap layar video suspek (dalam bulatan) sempat dirakam CCTV.

SUASANA tenang di sebuah hospital bertukar cemas apabila seorang lelaki bersenjata bukan sahaja menembak mati dua jururawat, malah memukul teman wanitanya yang baru beberapa minit melahirkan anak.

Dalam kejadian yang berlaku di hospital di Dallas, dekat Texas, Amerika Syarikat (AS) itu, kedengaran suara kakitangan dan orang awam meraung serta meminta tolong.

Suspek, Nestor Hernandez, 30, dibebaskan dari penjara pada Oktober 2021 selepas menjalani hukuman atas kesalahan merompak, namun masih dalam pemantauan alat elektronik di kakinya.

Dia hanya dibenarkan melawat hospital selepas teman wanitanya melahirkan anak, namun dia sebaliknya menerjah masuk ke dalam wad bersalin.

Ketika kejadian, dia pada mulanya menembak Jacqueline Ama Pokuaa yang memasuki bilik bersalin bagi memantau pesakit tersebut.

Suspek juga didakwa menembak Katie Annette Flowers ketika mangsa sedang mengintip bilik tersebut.

Beberapa babak mengenai kejadian itu berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV).

Dalam kejadian sama, polis kemudian menembak kaki suspek menyebabkan jeritan orang awam lebih kuat.

Ketika pihak polis memasuki bilik tersebut, secara tiba-tiba skrin video menjadi gelap dan hanya kedengaran suara audio.

Dalam audio itu, kedengaran suara tangisan bayi yang baru dilahirkan, manakala pegawai polis berkata bahawa mereka memerlukan pakar bedah.

"Dia menipu saya," kedengaran suara suspek merujuk teman wanitanya yang dipercayai berlaku curang terhadapnya.

Suspek kini menghadapi pertuduhan bunuh dan serangan dan ditahan di penjara Dallas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram