[VIDEO] Gara-gara kelalaian polis, lelaki maut terkena peluru sesat


  • Benua
  • Khamis, 03 Nov 2022

Tangkap layar memaparkan kereta mangsa yang terkena peluru sesat di Indonesia.

SEORANG lelaki maut terkena peluru sesat berdekatan Pejabat Polis Tanjungpura Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia, pada Rabu.

Mangsa, Suhardi berada di dalam keretanya ketika kejadian tersebut berlaku.

Kejadian itu berpunca apabila salah seorang anggota polis bertindak membersihkan pistolnya akibat basah terkena hujan.

Walau bagaimanapun, senjatanya tiba-tiba meletus dan peluru tersebut menembus dinding papan lalu tersasar hingga terkena kepala mangsa. Mangsa dikatakan berada 15 meter dari pejabat polis tersebut.

Menerusi video yang tular itu, orang ramai dilihat berkerumun di sekeliling kereta mangsa. Pihak polis segera membantu mangsa dan membawanya ke hospital berdekatan.

Ketua Polis Daerah Kalimantan Barat, Inspektor Suryanbodo Asmoro menyampaikan permohonan maaf kepada keluarga mangsa atas peristiwa yang terjadi.

"Kami akan menguruskan segala kos rawatan hospital dan kos pengurusan jenazah mangsa," jelas beliau.

Mangsa dikatakan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Anggota polis yang terlibat dalam kejadian tersebut berisiko dipecat dan dihukum dengan Perkara 359 KUHP atas kecuaian yang menyebabkan seseorang mati dan menyalahi kod etika.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram