
BEBERAPA hari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini, gabungan parti utama sudah pun mengumumkan calon pilihan masing-masing.
Ini termasuk Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Calon-calon dipertaruhkan sudah pasti mendapat persetujuan ramai, selain kepercayaan daripada pemimpin akar umbi parti.
Bagi PN, mereka memilih Ketua Wanitanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun untuk bertanding di kerusi Parlimen Sepang.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu merupakan penyandang kerusi Parlimen Titiwangsa sejak 2018.
Pada PRU14, Rina yang bertanding menggunakan tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah PH, berjaya merampas kerusi Parlimen Titiwangsa daripada penyandangnya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mewakili Barisan Nasional (BN) ketika itu.
Selain Rina, dua calon sudah diumumkan parti masing-masing untuk berebut kerusi Parlimen berkenaan ialah Ketua Pejuanita Pejuang, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim; dan Ketua Wanita PH, Raj Muni Aiman Athirah.
Media sebelum ini melaporkan, pemenang kerusi Parlimen Sepang pada PRU14, Mohamed Hanipa Maidin, ialah antara penyandang digugurkan Amanah (PH) pada pilihan raya kali ini.
Sementara itu, perpindahan Rina untuk bertanding ke Parlimen Sepang tidaklah begitu mengejutkan ramai, apabila beliau sebelum ini dilihat beberapa kali turun padang mengadakan aktiviti di kawasan tersebut.
Namun, tarikh mengundi PRU15 pada 19 November ini merupakan penentu sama ada pengundi di Sepang dapat menerima kehadiran beliau atau sebaliknya.
Sekiranya Rina berjaya menawan Sepang, berikut merupakan kelebihan dan kekurangan beliau yang perlu dihadapi penduduk kawasan tersebut:
Pro
1. Popular
Jeniri Amir — Agensi
Menurut Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir, nama Rina sememangnya tidak asing serta dikenali ramai tidak kira dalam kalangan pengamal politik mahupun rakyat.
Apatah lagi, katanya, Rina memegang portfolio sebagai menteri dalam tempoh hampir sepenggal.
Sebelum memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina diberi kepercayaan untuk berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Rina juga pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Puteri Umno Bahagian Sepang sejak tahun 2002 hingga 2013.
Jadi, tidak hairanlah sekiranya namanya mungkin disebut-sebut oleh penduduk di kawasan tersebut.
2. Rahsia kelemahan
Tambah Jeniri Amir, penduduk di Sepang kemungkinan tidak mengetahui tentang kelemahan Rina ketika berkhidmat di Parlimen Titiwangsa.
Oleh itu, katanya, ia memberi kelebihan dan peluang buat ahli politik itu untuk meyakinkan pengundi di kawasan baharu.
"Pengundi kawasan baharu juga mungkin tidak tahu adakah janji di kawasan lama sudah ditunaikan.
"Ini juga menjadikan rekodnya hampir bersih di kawasan baharu," katanya kepada Majoriti.
Kontra
1. Tempat baharu
Rina perlu bekerja keras untuk menawan Sepang. —Agensi
Memandangkan Rina merupakan calon baharu di Sepang, jelas Jeniri Amir, beliau ibarat perlu merintis hutan tebal atau berusaha dengan lebih keras.
Katanya, ini termasuk Rina perlu mengadakan pertemuan bersama rakyat, khususnya badan bukan kerajaan (NGO), wanita, warga emas serta masyarakat dari pelbagai peringkat.
"Dengan tempoh tidak sampai 20 hari ini, memang betul kita boleh berkempen secara alam maya tapi dalam politik itu tidak memadai.
"Kalau datang buat aktiviti setakat sekali dua tak cukup kecuali kalau dia penyandang di kawasan itu," katanya.
2. Kontroversi
Rina didakwa hanya 'berposing' ketika mencuci simen bersih. — Agensi
Jelasnya lagi, perspektif kebanyakan rakyat kepada ahli politik tersebut sudah berbeza, selepas beberapa kontroversi ketika beliau menjadi menteri dilihat seolah-olah tidak menyenangkan.
Disember tahun lalu, nama Rina hangat diperkatakan apabila sebuah video memaparkan beliau didakwa hanya 'berposing' mencuci simen bersih ketika operasi pasca bencana banjir.
Bukan itu sahaja, namanya turut menjadi buah mulut gara-gara isu kurus dan sebutan bahasa Inggeris menerusi satu persidangan maya.
Tangkap layar video Rina ketika berlakon menjadi petugas syarikat penghantar makanan.
Malah, sebuah video klip yang memaparkan beliau berlakon menjadi petugas sebuah syarikat penghantar makanan, Food Panda tidak menyenangkan orang ramai.
"Imej-imej yang dibentuk melalui media dan media sosial bakal merugikan kerana dalam politik, persepsi lebih benar daripada realiti. Persepsi lebih kuat untuk bentuk bagaimana seseorang pengundi bertindak terhadap calon itu.
"Tapi, apa-apa pun saya percaya, pengundi akan memilih parti lebih utama daripada calon.
"Persaingan juga tidak mudah untuk Rina. Ini kawasan PH dan ada kecenderungan pola pengundian berpihak kepada PH," ujar Jeniri Amir.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.
Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram