Sekumpulan perompak menyamar polis, dapat idea selepas tonton filem Bollywood


  • Benua
  • Isnin, 15 Ogos 2022

Tangkap layar filem Special 26 yang menjadi idea kepada sekumpulan individu untuk melakukan rompakan. — Agensi

SEKUMPULAN tujuh individu nekad melakukan rompakan selepas mendapat inspirasi daripada filem Bollywood berjudul Special 26.

Kesemua mereka sebelum itu menyamar sebagai pegawai polis Mumbai, India dan merompak sebuah pusat kesihatan.

Timbalan Komisioner Polis Barat Laut, Usha Rangani berkata, kejadian berlaku pada petang Rabu melibatkan empat individu termasuk seorang wanita.

"Kesemua mereka telah menyerbu sebuah pusat kecantikan di Kompleks Netaji Subash Place, India dengan menyamar sebagai pegawai polis.

"Mangsa yang berada di dalam premis itu telah diacukan dengan pistol dan mereka melarikan wang tunai serta beberapa barangan lain yang berjumlah RM39,000," katanya.

Menurut Rangani, siasatan awal mendapati terdapat tiga lagi suspek di luar premis yang melakukan kawalan.

Jelasnya, siasatan terhadap rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) kemudian membawa kepada tangkapan kesemua suspek.

"Suspek yang ditahan ialah Prashant Kumar Patil, 29, dan berdasarkan soal siasat, dua suspek wanita dari Rohini, iaitu Jyoti, 30, dan Neha, 22 juga ditahan.

"Dua lagi suspek, Jahid Khan dan Sanjay Manocha, ditahan di Mewat, manakala baki dua lagi, Faisal dan Imran dicekup di Madhya Pradesh," katanya.

Menurutnya, suspek mendedahkan filem Bollywood Special 26 menjadi idea kepada mereka untuk melakukan rompakan berkenaan.

Tambahnya, mereka sudah melakukan rancangan awal termasuk mewujudkan kad kuasa Polis Mumbai yang palsu untuk tujuan rompakan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram