'Arif Anwar kena peram?' TFC perjelas tindakan Nafuzi Zain


  • Podium
  • Selasa, 16 Ogos 2022

Kehadiran Arif dikatakan melengkapkan lagi gandingan dua tonggak TFC, Faisal dan Kpah. — Facebook/TFC

SELAIN daripada jumlah jaringan, jumlah minit permainan juga merupakan aspek penting yang akan mencorak portfolio karier seorang pemain bola sepak.

Ini kerana ia melambangkan kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih terhadap keupayaan seseorang pemain dalam melaksanakan misi pasukannya.

Justeru, tindakan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain yang dikatakan 'memeram' penyerang tengah mereka, Arif Anwar menjadi persoalan para penyokong di laman media sosial.

Menurut mereka, kehadiran pemain berusia 27 tahun itu melengkapkan gandingan dua tonggak TFC, Faisal Halim dan Kpah Sherman.

Mengulas berkenaan isu tersebut, pengurus TFC, Mohd Fadhil Wahab menjelaskan bahawa pemilihan pemain bagi satu-satu perlawanan dibuat berdasarkan keperluan taktikal jurulatih.

Ketiadaan Arif di atas padang bukan bermakna pihak pasukan tidak melihat potensi yang ada pada pemain dengan ketinggian 171 meter itu.

Tangkap layar persoalan yang diajukan penyokong di laman Facebook.

"Para pemain diturunkan bergantung kepada taktikal yang kita buat. Memang kami akui dia menunjukkan prestasi yang baik, namun kita perlu pada keperluan pada persiapan akhir.

"Sebagai pemain, Arif perlu bersedia pada bila-bila masa sekiranya diperlukan. Dia tiada masalah kecederaan atau masalah dari segi prestasi," katanya kepada Majoriti.

Disoal sama ada Arif akan diturunkan ketika menentang pasukan Selangor pada saingan Liga Super Rabu ini, Mohd Fadhil tidak memberikan jawapan yang tepat.

"Masih ada dua hari lagi sebelum perlawanan, jadi kami tiada kata putus lagi. Sebab kita ada ramai lagi pemain-pemain muda perlu diketengahkan juga," katanya.

Sebagai rekod, Arif mengumpul 20 minit perlawanan setelah ditampilkan dalam tiga perlawanan sahaja dalam saingan Liga Super musim ini.

Antaranya adalah perlawanan menentang PJ City FC pada 1 Ogos, perlawanan menentang JDT pada 10 Ogos dan perlawanan menentang Sarawak United, Sabtu lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram