PELUANG untuk Kelantan FC meneruskan misi kejuaraan Liga Perdana musim ini semakin hampir, apabila berjaya menundukkan PDRM FC 2-1 pada Sabtu lalu.
Namun, apa yang menjadi perhatian buat penyokong bola sepak tanah air ketika perlawanan itu adalah kebangkitan pasukan The Red Warriors (TRW), yang dilengkapkan oleh pemain gantian, Ikhwan Yazek.
Clearance kurang kemas oleh benteng PDRM FC membenarkan Ikhwan memperolehi bola di luar kotak penalti lawan.
Aksi Ikhwan selepas menjaringkan gol pada Sabtu lalu. — Facebook/TRW
Pemain sayap berusia 22 tahun itu sempat menguis bola ke tengah dengan kaki kanannya, sebelum meledak lencongan dengan kaki kiri yang menerjah penjuru atas gawang dan tidak memberikan peluang langsung kepada penjaga gol PDRM untuk menepis percubaan itu.
Jaringan tersebut adalah gol peribadi kedua dijaringkan oleh pemain itu untuk Kelantan FC pada musim ini.
Justeru, ada segelintir peminat yang mencadangkan gol Ikhwan itu layak untuk mendapat Anugerah Puskas.
Namun, cadangan itu ditepis oleh segelintir penyokong lain yang menyifatkan gol it masih belum layak tersenarai bagi anugerah tersebut, meskipun menganggap gol yang dijaringkannya sememangnya cantik.
Pasukan TRW bergambar selepas menang dalam perlawanan menentang PDRM FC. — Facebook/TRW
Haris Haidzir menulis: "Gol ni memang cantik lencongan bola tu tapi kalau nak label gol ni sebagai Puskas ibarat langit dengan bumi, berbeza dengan gol-gol lain yang menang Puskas.
Turut berpendapat sama, Azam Sheikhul berkata: "Ye gol memang cantik, tapi nak level (tahap) Puskas jauh. Luar negara banyak dah buat gol macam tu, tapi belum cukup Puskas lagi."
Sementara itu, Zas Meini menganggap gol yang dijaringkan oleh Ikhwan dalam kategori biasa, sebaliknya mendakwa gol yang dijaringkan oleh penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid lebih cantik.
"Tak ada pun masuk Puskas. Silap bulan gol Sean (Eugene Selvaraj) hari tu pun FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) tak hantar untuk Anugerah Puskas," katanya.
Pada masa sama, Loco Munoz berkata, sekiranya gol yang disumbangkan oleh Ikhwan sudah sampai ke tahap Puskas, sudah tentu ketika ini pemain sayap Real Madrid, Eden Hazard dapat merangkul banyak anugerah tersebut.
"Bukan setakat Hazard, Safawi pun dah boleh angkat Puskas.
"Goal placing ni normal dalam bola sepak, dekat Malaysia je player (pemain) tak reti pakai," tambahnya.
Terdahulu, Sean Eugene yang juga penyerang Negeri Sembilan mendapat perhatian Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), apabila jaringannya tersenarai antara pemain dari seluruh dunia yang menjaringkan gol cantik baru-baru ini.
Satu-satunya pemain negara yang pernah memenangi Anugerah Puskas ialah bekas pemain Pulau Pinang, Faiz Subri iaitu pada 2016. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram