SEORANG lelaki diarah membayar pampasan RM6,591 oleh Mahkamah Yunxi, China kerana memeluk rakan wanita sekerjanya sehingga menyebabkan tiga tulang rusuknya patah.
Lapor Odditycentral, hakim menjatuhkan hukuman kerana mahkamah mendapati tiada bukti kukuh wanita tersebut menyertai aktiviti lain yang menyebabkan tulang rusuknya patah.
“Selain itu, terdapat testimoni rakan sekerja yang mengimbau kembali reaksi sakit wanita itu selepas dipeluk,” katanya.
Wanita berasal dari bandar Yueyang, China itu memfailkan tindakan undang-undang dan mengheret rakannya ke mahkamah akibat memeluknya terlalu kuat sehingga menyebabkan tiga tulang rusuknya patah.
Wanita bertindak selaku plaintif itu dilaporkan bersembang dengan rakannya di tempat kerja dan ‘kejadian pelik’ itu dilaporkan bermula pada Mei 2021.
Difahamkan, lelaki tersebut kemudian datang dan menyapanya dengan pelukan sehingga menyebabkan dia menjerit kesakitan.
“Lelaki itu memeluknya dengan kuat sehingga dia terus berasa sakit di dada, walaupun selepas meninggalkan pejabat. Tetapi, dia tidak mendapatkan bantuan perubatan segera dan sebaliknya lebih suka menyapu sedikit minyak panas di dada sebelum tidur.
“Lima hari selepas pelukan yang sangat erat itu, wanita itu berasa sakit di bahagian dada dan akhirnya memutuskan ke hospital bagi menjalani pemeriksaan.
“Ujian X-ray mendapati tiga tulang rusuknya patah iaitu dua di sebelah kanan dan satu sebelah kiri. Dia terpaksa mengambil cuti sehingga menyebabkannya hilang pendapatan dan membelanjakan sejumlah besar wang untuk bil perubatan serta khidmat jururawat,” kata laporan itu.
Sepanjang tempoh pemulihan, wanita itu dilaporkan berjumpa dengan lelaki tersebut dan cuba berunding bagi mencari jalan penyelesaian.
Namun, kedua-duanya gagal mencapai kata sepakat kerana lelaki itu mendakwa rakannya tidak mempunyai bukti yang menyebabkan kecederaan terhadapnya.
Justeru, wanita itu memutuskan memfailkan tindakan saman bagi menuntut pampasan atas kerugian kewangan yang ditanggungnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram