Lelaki serbu bank tuntut wang sendiri, tahan 10 mangsa tebusan selama 7 jam


  • Benua
  • Isnin, 15 Ogos 2022

Keadaan Bassam selepas ditahan pihak berkuasa. — Agensi

SEORANG lelaki bertindak nekad menyerbu sebuah bank dan menjadikan orang awam sebagai tebusan dalam satu kejadian di Beirut, Lubnan pada Selasa minggu lalu.

Difahamkan, lelaki tersebut tidak berniat untuk merompak bank, sebaliknya hanya mahu menuntut wangnya kembali.

Bassam al-Sheikh Hussein, 42, memasuki Bank Persekutuan di Hamra, Beirut bersama senapang patah dan sebotol minyak petrol.

Ketika kejadian, lelaki tersebut mengugut untuk membakar dirinya, sekiranya kakitangan bank itu enggan membenarkan untuk mengeluarkan wang miliknya.

Dia juga melepaskan beberapa tembakan amaran dan menjadikan 10 orang tebusan dalam keadaan buntu selama tujuh jam.

Bassam mempunyai kira-kira AS$210,000 (RM535,000) dalam akaun banknya, selain ingin mengeluarkan kira-kira AS$10,000 (RM44,600) bagi membayar membayar bil perubatan bapanya dan perbelanjaan lain.

Selepas beberapa jam, Hussein menerima tawaran untuk mengeluarkan sebahagian daripada wang simpanannya, manakala bank itu menyerahkan AS$35,000 (RM156,000) kepada abangnya.

Semua tebusan itu kemudian dibebaskan, manakala lelaki berkenaan menyerah diri kepada pihak polis tanpa sebarang pergelutan.

Screenshot 2022-08-15 212018

Penunjuk perasaan berada di luar bank bagi memberi sokongan kepada Bassam. — Agensi

Sementara itu, sekumpulan penunjuk perasaan yang berada di luar bank itu melaungkan slogan bahawa Bassam merupakan wira negara Lubnan, berikutan tindakan drastiknya untuk mengeluarkan wang sendiri.

Lubnan sedang mengalami kegawatan ekonomi, sekali gus menyebabkan orang ramai hanya dibenarkan mengeluarkan wang tunai dalam jumlah yang terhad dari akaun mereka sejak Oktober 2019.

Tiga perempat daripada penduduk negara itu jatuh ke dalam kemiskinan, manakala nilai mata wang Lubnan merosot lebih daripada 90 peratus berbanding dolar AS.

Januari lalu, seorang lagi penduduk dikenali sebagai Abdallah Assaii menyerbu masuk ke dalam sebuah bank di Lembah Bekaa untuk mengeluarkan wang miliknya sendiri.

Pemilik kafe berusia 37 tahun itu hanya dapat mendapatkan wangnya semula, selepas menjadikan tujuh kakitangan bank sebagai tebusan.

Abdallah juga bertindak menyimbah petrol ke atas dirinya serta tebusan tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram